
KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak supaya tidak menjadikan pembangunan sebagai alasan untuk meminggirkan hak rakyat marhaen atau mencalarkan integriti Enakmen Rizab Melayu demi kepentingan komersial pihak tertentu.
Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim berkata, beliau memandang serius risiko pengambilan Tanah Rizab Melayu (TRM) di Kampung Sungai Pening, Semenyih. Selangor.
Menurutnya, ia susulan cadangan pembinaan jalan pintas dari Lebuhraya SILK ke Jalan Sungai Lalang yang melibatkan kira-kira 35 lot tanah warisan milik puluhan penduduk tempatan.
“Kawasan terlibat merupakan TRM yang telah diwartakan sejak 1927 (Gazette Notification: 4299-14). Tindakan pengambilan tanah ini jelas menjejaskan kepentingan dan hak kepemilikan sah penduduk tempatan.
“Penduduk telah lama menyuarakan bantahan melalui saluran rasmi sejak 2019, termasuk surat kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), memorandum kepada Menteri Besar Selangor, dan penyerahan bantahan kepada Perdana Menteri pada Januari 2026 namun suara mereka konsisten dipinggirkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu memaklumkan beliau telah menghantar Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) pada pagi ini bagi mendesak perbincangan segera mengenai isu tersebut di Dewan Rakyat.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan bersama Jawatankuasa Penduduk Kampung Sungai Pening pada Isnin lalu.
Hasil pertemuan itu mendapati penduduk menyuarakan bantahan tegas terhadap jajaran baharu tersebut dan menuntut pembatalan cadangan laluan jalan pintas berkenaan.
“Mereka menegaskan bahawa mereka tidak menolak pembangunan, tetapi sebarang projek mesti dilakukan secara telus, berunding, dan mengambil kira alternatif laluan lain yang tidak menjejaskan TRM,” jelasnya.
Menurut Amzad, isu ini menimbulkan beberapa kebimbangan serius termasuk pencabulan Warta TRM 1927 yang menindas hak pemilik asal serta persoalan tadbir urus apabila berlaku perubahan jajaran jalan secara mendadak selepas kelulusan projek perumahan.
Tambahnya, wujud juga isu pertukaran tanah (land swap) yang tidak seimbang serta risiko bencana geoteknikal kerana laluan baharu itu melalui cerun sensitif dan zon tadahan air yang boleh memusnahkan ekosistem serta mengancam keselamatan penduduk.
“Saya mendesak Kerajaan memberikan penjelasan rasmi dan telus bagi memastikan semua projek pembangunan mematuhi undang-undang dan melindungi aset warisan negara.
“Hak rakyat harus dipertahankan, Tanah Rizab Melayu mesti diselamatkan,” tegasnya.- HARAKAHDAILY 11/2/2026











