
KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menetapkan kadar zakat fitrah bagi tahun 2026 kekal tidak kurang RM10 bagi seorang individu yang menggunakan beras biasa.
Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Nara Setia Dato’ Zulkifli Ali berkata, ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira kadar harga beras semasa di negeri ini.
Menurutnya, bagi mereka yang menggunakan beras jenis Basmathi atau setara dengannya, kadar zakat fitrah ditetapkan RM20, menurun berbanding RM21 pada tahun lalu.
“Zakat fitrah hendaklah ditunaikan dalam bentuk wang tunai dengan kadar bersamaan satu gantang Baghdad iaitu 2.60 kilogram atau 2.97 cupak Malaysia beras,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Ketetapan Kadar Zakat Fitrah Tahun 1447H/2026M serta Prestasi Kutipan Dan Agihan Zakat Tahun 2025 ii dan Terengganu Perkasa Penguatkuasaan Enakmen, Pungutan Khairat Tanpa Kebenaran bertempat di Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, di sini, hari ini.
Tambahnya, pembayaran boleh dibuat secara tunai kepada amil yang dilantik atau melalui kaedah tanpa tunai menerusi laman sesawang rasmi MAIDAM serta saluran yang diluluskan.
“MAIDAM telah melantik seramai 906 amil di seluruh Terengganu bagi mengurus kutipan zakat fitrah tahun ini dan orang ramai dinasihatkan supaya menunaikan zakat hanya kepada amil bertauliah,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan bahawa bayaran zakat kepada individu yang tidak dilantik adalah satu kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, seramai 29,402 asnaf fakir dan miskin bakal menerima bantuan zakat sempena Ramadan tahun ini membabitkan peruntukan keseluruhan RM15.785 juta.
“Kadar bantuan ditetapkan RM300 bagi isi rumah satu hingga dua orang, RM500 (dua hingga tiga orang) dan RM700 bagi isi rumah empat orang ke atas,” jelasnya.
Katanya, bantuan itu meliputi keperluan asas seperti barangan dapur, pakaian dan bayaran utiliti bagi meringankan beban penerima menjelang Ramadan.
Sementara itu, beliau berkata, MAIDAM telah merekodkan kutipan zakat sebanyak RM301.03 juta pada 2025, meningkat 9.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, namun agihan zakat bagi tahun 2025 melebihi kutipan yang mana mencecah RM324.49 juta.
Justeru, beliau menggalakkan umat Islam di Terengganu termasuk yang berada di luar negeri supaya menunaikan zakat melalui MAIDAM bagi memastikan agihan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan menyeluruh.
“Jadi kita amat menggalakkan lebih ramai lagi rakyat rakyat Terengganu, mungkin berada dalam atau di luar Terengganu, membayar zakat kepada penerimaan MAIDAM,” ujar beliau lagi..
Mengulas mengenai agihan bantuan ramadan melalui kaedah tuntutan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, ia dilaksanakan di kedai dan premis terpilih yang meliputi barangan serta perkhidmatan.
Beliau berkata, pendekatan itu diperkenalkan dengan dua tujuan utama iaitu bagi mengenal pasti corak perbelanjaan asnaf dan memastikan bantuan dibelanjakan mengikut keperluan.
“Dari segi data perbelanjaan asnaf, kita ingin mengenal pasti corak perbelanjaan mereka. Jika agihan dibuat dalam bentuk tunai, kita tidak dapat mengesan bagaimana bantuan itu dibelanjakan.
“Kedua, kita mahu memastikan asnaf berbelanja mengikut keperluan. Sebab itu kaedah ini diperluaskan bukan sahaja untuk pembelian barangan basah dan kering, tetapi juga bagi pembayaran bil utiliti termasuk bil telefon serta mendapatkan ubat di klinik dan farmasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/2/2026











