Dua pelajar cemerlang STAM terima RM1,000

Setiap seorang

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Dua pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menerima sumbangan RM1,000 setiap seorang sebagai penghargaan atas kecemerlangan mereka dalam peperiksaan tersebut tahun lalu.

Sumbangan tersebut disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat selepas merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maahad Saniah Kali Ke-24.

- Advertisement -

Dalam ucapannya, Wan Roslan berkata, sumbangan berkenaan diberikan sebagai tanda penghargaan kepada dua pelajar terbabit yang memperoleh keputusan cemerlang, selain menjadi dorongan untuk terus beristiqamah dalam menuntut ilmu.

“Semoga dengan cendera hati ini menjadi semangat untuk para pelajar meningkatkan lagi prestasi kecemerlangan masing-masing dalam pelajaran.

“Kita berharap, bukan sahaja di sini sebaliknya terus cemerlang dalam pengajian di peringkat yang lebih tinggi biarpun di mana kita belajar,” katanya.

Beliau turut berharap penghargaan tersebut menjadi asbab keberkatan, menguatkan semangat menuntut ilmu serta melahirkan generasi yang berilmu, beradab dan bertaqwa.

Sementara itu, dua pelajar yang mendapat keputusan Mumtaz menerima RM500 setiap seorang, manakala lapan pelajar yang memperoleh Jayyid Jiddan menerima RM300 setiap seorang.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Dato’ Tuan Saripuddin Tuan Ismail.

Terdahulu ketika berucap dalam majlis yang sama, Wan Roslan berkata mesyuarat agung menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti demi kecemerlangan pendidikan pelajar.

“Mesyuarat tahunan seperti ini dapat memberi ruang bermusyawarah bagi membincangkan hala tuju serta usaha penambahbaikan pendidikan di sekolah,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan Pengerusi PIBG Maahad Saniah ialah Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi.

“Pihak sekolah boleh melaporkan sebarang aduan kepada beliau,” katanya.- HARAKAHDAILY 11/2/2026

- Advertisement -