
KUALA LUMPUR: PAS Pusat menegaskan bahawa segala permasalahan yang berbangkit di Perlis, sebagaimana yang disuarakan oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin telah diambil perhatian serius dan dalam tindakan sewajarnya oleh pimpinan tertinggi parti.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, Presiden PAS khususnya memantau rapat perkembangan tersebut demi memastikan keharmonian dan kestabilan pentadbiran.
Menurut beliau, PAS Pusat telah pun mengambil langkah proaktif dalam bentuk menyiasat, menyelidik, menasihat serta memantau perjalanan PAS Perlis dan Kerajaan Negeri Perlis agar sentiasa selari dengan dasar dan ketetapan parti.
”Proses ini berjalan bukan sahaja di Perlis, malah termasuk di Kelantan, Terengganu, dan Kedah.
”Segalanya dilaksanakan secara dalaman dan berhati-hati demi memastikan keutuhan kerajaan dan kesatuan parti terpelihara,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai situasi politik semasa di negeri tersebut, Ahmad menegaskan pendirian parti untuk mengekalkan kestabilan kepimpinan sedia ada.
Jelas beliau, andai wujud sebarang kelemahan atau kekurangan di peringkat negeri, ia tidak seharusnya membawa kepada tindakan drastik seperti menjatuhkan Menteri Besar.
”Kami berpendirian tidaklah sampai ke peringkat dijatuhkan Menteri Besar, khususnya dalam tempoh yang semakin menghampiri pilihan raya,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar perkara ini diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan PAS Pusat untuk membuat sebarang keputusan dan tindakan demi menjaga kemaslahatan semua pihak.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar menutup segala ruang fitnah, menghormati disiplin jamaah serta memberi laluan kepada proses penyelesaian dalaman yang sedang dijalankan oleh pucuk pimpinan. – HARAKAHDAILY 7/2/2026




















