
KUALA LUMPUR: Aktivis, Badrul Hisham Shaharin mempersoalkan pemilihan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi menjalankan kajian cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur, dengan menyifatkannya lebih bersifat simbolik berbanding berasaskan kepakaran khusus.
Beliau berkata, persoalan yang timbul bukanlah bertujuan meremehkan UIAM sebagai institusi akademik, sebaliknya menyentuh aspek kepakaran khusus dan legitimasi proses bagi satu dasar awam di mana mempunyai implikasi besar terhadap struktur tadbir urus ibu negara.
Menurutnya, UIAM adalah universiti dihormati dan diiktiraf, dengan sumbangan besar dalam pengajian Islam, undang-undang, pendidikan dan sains sosial, selain memiliki ahli akademik berintegriti serta rekod ilmiah yang baik.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa apabila sesuatu dasar menyentuh struktur tadbir urus bandar, pemilihan institusi kajian seharusnya menekankan kepakaran khusus dalam sesuatu bidang.
Terangnya yang lebih dikenali sebagai Chegubard, ia sepertimana kepakaran dalam sains politik, dasar awam, pilihan raya dan pendemokrasian, perancangan bandar serta pembangunan sosial.
Chegubard berkata, Malaysia mempunyai beberapa universiti lain yang secara tradisi dikenali sebagai pusat rujukan dalam bidang berkenaan, termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ia termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), yang mempunyai reputasi kukuh sebagai universiti penyelidikan dengan disiplin relevan.
Beliau menegaskan bahawa cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur bukan sekadar isu teknikal, sebaliknya melibatkan perubahan asas dalam tadbir urus bandar, peranan dan kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ia kata beliau, termasuk hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan serta keseimbangan kuasa politik di Ibu Negara.
“Justeru, kajian yang menjadi asas kepada dasar ini perlu mempunyai legitimasi akademik yang sukar dipertikai, bukan sekadar imej atau persepsi awal,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Chegubard berpandangan bahawa dalam konteks psikologi politik Melayu, pemilihan UIAM boleh difahami sebagai satu strategi simbolik.
Menurut beliau, bagi sebahagian besar orang Melayu, khususnya Melayu bandar sederhana, penjawat awam, peniaga kecil dan generasi berusia 40 tahun ke atas, UIAM dilihat sebagai institusi Melayu, Islamik, sederhana dan tidak terlalu elit.
Katanya, strategi itu berfungsi menurunkan tindak balas defensif terhadap dasar baharu yang menyentuh demokrasi bandar, pemilihan langsung serta reformasi struktur DBKL, sekali gus menjadi ‘pintu masuk emosi’ sebelum isi sebenar dasar diterima.
Beliau turut menyatakan bahawa wujud strategi pembingkaian naratif oleh kerajaan dan aliran tertentu bagi mencipta ‘halusinasi politik’.
Menurutnya, nama seperti bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan penyanyi negara, Datuk Siti Nurhaliza disebut bagi menarik perhatian orang Melayu.
Ia jelasnya sebelum disusuli dengan nama antarabangsa seperti Datuk Bandar New York City, Zohran Mamdani dan Datuk Bandar London, Sadiq Khan untuk mewujudkan perspektif bahawa di bandar seperti New York dan London, yang penduduk Muslimnya minoriti, Datuk Bandar Muslim boleh dipilih.
“Persepsi ini mengalihkan tumpuan daripada realiti politik Malaysia yang masih terpolarisasi mengikut etnik dan memperlihatkan satu naratif yang tidak mencerminkan keadaan sebenar pilihan raya di negara ini,” tegasnya.
Chegubard menyifatkan pendekatan itu sebagai contoh ‘jarum halus Malaysian Malaysia’ yang menggunakan simbolik dan halusinasi untuk membentuk penerimaan awal terhadap dasar.
Beliau turut mempersoalkan sama ada rakyat, khususnya orang Melayu, menyedari bahawa pemilihan institusi berkenaan lebih bersifat simbolik berbanding berasaskan kepakaran paling defensible.
Jelasnya, strategi sedemikian mungkin menimbulkan rasa selamat sementara, namun tidak menjamin proses yang telus, bebas dan menyeluruh.
“Ini menimbulkan persoalan asas mengenai legitimasi keputusan kerajaan memilih UIAM dan sejauh mana pilihan tersebut mencerminkan kepakaran terbaik bagi membina dasar jangka panjang yang kukuh,” bidasnya.
Dalam konteks pembuatan dasar awam, beliau menegaskan bahawa legitimasi sesuatu kajian bukan sahaja bergantung kepada dapatan akhir, tetapi juga proses, kepakaran dan persepsi kebebasan pihak yang melaksanakannya.
Beliau mencadangkan agar lebih daripada satu universiti penyelidikan dilibatkan atau satu konsortium akademik antara disiplin dibentuk sebagai pendekatan yang lebih defensible serta mampu membina keyakinan rakyat.
“Isu ini bukan soal sama ada UIAM layak atau tidak, tetapi sama ada kerajaan mengambil langkah paling teliti dan inklusif untuk memastikan dasar yang dicadangkan mempunyai legitimasi akademik dan diterima rakyat,” katanya.
Beliau menambah, memperhalusi proses bukan bermaksud melemahkan institusi, sebaliknya membuka mata masyarakat terhadap strategi naratif simbolik yang menurutnya sedang digunakan bagi membentuk penerimaan dasar tanpa pendedahan penuh terhadap implikasi sebenar. – HARAKAHDAILY 7/2/2026











