Hari Nasional Iran: Revolusi Islam, kedaulatan dan aspirasi rakyat

Valiollah Mohammadi Nasrabadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan Republik Islam Iran pada 11 Februari ini bukan sekadar ulang tahun kenegaraan, sebaliknya ia adalah manifestasi kedaulatan sebuah negara yang berjaya membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing melalui Revolusi Islam.

- Advertisement -

Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi menyifatkan tarikh keramat 11 Februari 1979 sebagai detik kebangkitan rakyat menolak penindasan rejim terdahulu dan campur tangan Amerika Syarikat (AS), demi menegakkan sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.

Beliau berkata, semangat revolusi itu terus subur sehingga kini, diterjemahkan melalui aspirasi rakyat yang mahukan sistem pemerintahan berteraskan prinsip Islam dan demokrasi tulen.

Menyorot kembali sejarah, Valiollah menjelaskan bahawa penubuhan Republik Islam Iran adalah hasil mandat mutlak rakyat.

“Sejurus selepas kemenangan revolusi, satu referendum telah diadakan di mana 98 peratus rakyat mengundi menyokong penubuhan Republik Islam Iran.

“Ini membuktikan bahawa demokrasi di Iran adalah unik; ia adalah demokrasi berteraskan agama di mana rakyat bebas memilih pemimpin mereka, daripada Presiden, Ahli Parlimen sehinggalah kepada Majlis Pakar,” ujarnya dalam sidang media sempena Hari Kebangsaan Iran di kedutaan negara itu, di sini.

Tegasnya, naratif Barat yang sering menggambarkan Iran sebagai negara tanpa kebebasan adalah jauh tersasar daripada realiti sebenar, memandangkan pilihan raya diadakan secara berkala dan rakyat terlibat secara langsung dalam menentukan hala tuju negara.

Menurut Valiollah, aspirasi rakyat untuk melihat negara maju telah memacu Iran menduduki tangga ke-17 dunia dalam penerbitan saintifik, selain menjadi kuasa besar dalam bidang nanoteknologi, bioteknologi dan industri pertahanan.

“Jangka hayat rakyat meningkat daripada 45 tahun sebelum revolusi kepada hampir 80 tahun kini. Ini bukti jelas bahawa sistem yang dibina hasil Revolusi Islam ini mengutamakan kesejahteraan ummah dan pembangunan modal insan,” jelasnya.

Mengulas mengenai cabaran semasa, Duta Besar itu menegaskan bahawa Iran tidak akan tunduk kepada tekanan luar yang cuba menggugat kedaulatan mereka menerusi sekatan dan propaganda media.

Beliau berkata, media asing sering memanipulasi fakta demi agenda politik tertentu, sedangkan realitinya Iran berada dalam keadaan stabil dan selamat.

“Rakyat Iran telah membayar harga yang sangat mahal untuk kemerdekaan ini melalui darah syuhada dan pengorbanan menentang pencerobohan serta sekatan.

“Justeru, pada 11 Februari nanti, jutaan rakyat akan turun ke jalan raya bukan kerana paksaan, tetapi untuk memperbaharui ikrar setia mempertahankan negara dan revolusi yang mereka bina sendiri,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan Iran bakal disambut Isnin ini, menandakan 45 tahun ketahanan negara itu sebagai sebuah benteng Islam yang progresif di rantau Asia Barat. – HARAKAHDAILY 7/2/2026

- Advertisement -