Hakisan pantai jejas sektor perhotelan, pelancongan

- Advertisement -

KUANTAN: Masalah hakisan pantai di Cherating dibimbangi memberi kesan serius terhadap sektor perhotelan dan pelancongan sekiranya tidak ditangani segera.

- Advertisement -

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Dato’ Andansura Rabu, berkata susulan maklumat yang diterima, beliau telah membuat tinjauan ke sebuah hotel di Cherating bagi melihat sendiri kesan hakisan pantai yang semakin ketara. (Foto atas)

“Masalah hakisan tersebut telah berlarutan sejak sekian lama dan menjadi semakin serius sejak kira-kira lima atau enam tahun kebelakangan ini.

“Dahulu jarak antara pinggir hotel ke laut dianggarkan sekitar 100 meter, namun kini hakisan semakin menghampiri bangunan utama dan telah merosakkan sebahagian kemudahan hotel serta menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kelangsungan operasi hotel berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pihak hotel terpaksa menanggung perbelanjaan besar dengan meletakkan batu pemecah ombak serta memasang ban sebagai langkah sementara, namun usaha tersebut masih belum mampu memberi jaminan perlindungan yang diharapkan.

Ujarnya, terdapat hotel-hotel lain yang turut berdepan risiko sama dan telah membuat aduan kepada pihak berkuasa berkaitan, namun masih belum menerima sebarang maklum balas.

Tegasnya, isu hakisan pantai di sepanjang daerah Kuantan bukan perkara baharu dan telah lama dibangkitkan melalui pelbagai saluran, termasuk Sidang Dewan Negeri.

Menurutnya, masalah itu bukan sahaja menjejaskan pantai awam, malah melibatkan tanah persendirian dan kediaman penduduk.

“Sehubungan itu, usaha akan dilakukan untuk menghubungi pihak berkuasa yang bertanggungjawab supaya isu hakisan yang menjejaskan hotel berkenaan dapat diberi perhatian segera.

“Kelewatan menangani isu tersebut berisiko menyebabkan kerugian lebih besar kepada hartanah dan menjejaskan kelangsungan sektor pelancongan di kawasan berkenaan,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, langkah pencegahan dan penyelesaian jangka panjang perlu disegerakan.

“Kita tidak mahu masalah ini berlarutan sehingga memberi kesan lebih buruk kepada industri pelancongan negeri,” tegasnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang. – HARAKAHDAILY 7/2/2026

- Advertisement -