Karnival Temerloh Sejahtera berteras kesejahteraan komuniti

- Advertisement -

TEMERLOH: Karnival Temerloh Sejahtera yang akan berlangsung pada 14 Februari ini merupakan usaha menghimpunkan masyarakat setempat khususnya golongan belia dan keluarga dalam suasana sihat, inklusif dan berteraskan kesejahteraan komuniti.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor berkata, karnival tersebut dirangka sebagai platform menyatukan komuniti melalui pendekatan santai, mesra keluarga dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, antara objektif utama penganjuran karnival berkenaan adalah untuk memperkukuh hubungan kemasyarakatan antara pemimpin dan masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti santai seperti sukan, permainan rakyat dan acara kekeluargaan.

“Program ini juga menjadi medium mendekatkan wakil rakyat dengan rakyat serta memahami keperluan sebenar komuniti yang ada,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial.

Tambahnya, penganjuran karnival itu turut memberi ruang untuk menyampaikan bantuan dan sumbangan kebajikan kepada golongan asnaf serta masyarakat yang memerlukan sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat.

“Kita mahu elemen kebajikan dan kemasyarakatan bergerak seiring dengan aktiviti riadah dan hiburan,” jelasnya.

Selain itu, beliau memaklumkan antara pengisian utama karnival ialah penganjuran pertandingan futsal, bola jaring serta e-sport Mobile Legends yang disasarkan kepada penyertaan golongan belia sebagai usaha menggalakkan gaya hidup aktif dan pembinaan sahsiah positif.

Katanya, penglibatan belia dalam aktiviti sihat seperti itu penting bagi membentuk disiplin, semangat berpasukan serta menjauhkan mereka daripada gejala tidak sihat.

Salamiah turut memaklumkan bahawa penganjuran booth kebajikan, gerai jualan serta booth pakaian dan barangan preloved disediakan sebagai platform sokongan kepada aktiviti keusahawanan kecil dan khidmat komuniti.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar orang ramai dapat hadir memeriahkan Karnival Temerloh Sejahtera serta mengambil bahagian dalam aktiviti yang disediakan mengikut syarat dan ketetapan yang telah ditetapkan.

Program itu dianjurkan oleh Sekretariat Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Temerloh dengan kerjasama PAS kawasan, Dewan Muslimat dan Pemuda PAS kawasan akan berlangsung dari 7.30 pagi hingga 3.00 petang di Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS), di sini.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran pertandingan boleh menghubungi Akmal (019-7741990), Kimie (014-9494214) dan Ain (013-9878717). – HARAKAHDAILY 8/2/2026

- Advertisement -