
LANGIT lazuardi menaungi kota Kabul yang berselimut kejerihan, angin dingin seperti menyimpan duka beratus tahun. Kesejukan seolah menambat tiang hati kita pada rawan yang panjang, entahlah bagaimana kita menakrifkan erti musim sejuk. Bagi yang mempunyai banyak wang, musim sejuk mencengkam hanyalah perubahan alam. Bagi kelompok rakyat jembel pula, skru akal mereka pasti memikirkan baju sejuk, dapur yang berasap serta penginapan yang memadai kerana malam mereka sangat panjang. Anak muda atau separuh baya mungkin menganggap musim dingin adalah musim mengawan, berhibernasi dan seterusnya menunggu tempoh sembilan bulan untuk acara tahnik anak bongsu terbaru!
KDNK nominal Afghanistan dianggarkan sekitar USD17.3 billion hingga USD20 billion (anggaran 2024 – 2025); ini melambangkan kitaran ekonomi yang sangat tidak berdaya saing. Negara bergunung ganang ini walaupun ada peningkatan dalam transit perdagangan namun keseluruhan ekonominya masih rapuh (fragile).
Lima tahun dahulu, mataku memandang dan menatap kosong pada sekumpulan anak-anak kecil yang ada di mana-mana sahaja di ruang kota Kabul ini. Ada sejumlah 1.5 juta anak yatim, juga dua juta ibu tunggal di negara yang bergelut dengan peperangan selama empat dekad. Keamanan seumpama suatu nikmat syurga dunia bagi mereka dan menghurung angka kematian itu bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Minggu ini beberapa letupan bom berlaku di kota Kabul bagi mengesahkan negara ini belum lagi aman. Lelaki berserban hitam, malah beruniform tentera mengawal ketat pergerakan manusia. Di jalanan, pemandangan kenderaan pacuan empat roda dengan senjata JPMG adalah perkara biasa.
Sehingga tempoh lima tahun sejak Amerika meninggalkan tanah jihad ini, seramai 2.8 juta orang pelarian Afghanistan telah kembali ke kampung-kampung halaman mereka. Sebahagian besar pelarian ini mengungsi di Pakistan, negara jiran yang sangat prihatin sejak perang 1979 dengan Soviet.
Mengatakan Afghanistan telah aman sepenuhnya adalah seperti membenarkan penghibur Amerika Taylor Swift masih perawan! Ledakan bom di tempat-tempat awam masih lagi menjadi tajuk berita dunia. Bagiku, kanak-kanak adalah kelompok paling terjejas. Seawal pagi mereka menghiasi setiap lorong kota, berjualan apa sahaja yang boleh didagangkan. Di pekan sempadan Iran – Afghanistan, Islam Kala, akan menyaksikan ratusan kanak-kanak tanpa pendidikan menjadi kuli kasar pengangkut bagasi. Mereka memenuhi bangunan imigresen, kawasan no man’s land, tanpa segan meminta sedikit wang untuk mengalas perut yang lapar. Kanak-kanak ini agresif, seolah ‘abang long’ kawasan yang berkongsi kuasa dengan kerajaan Taliban.
Aku teringatkan kanak-kanak di Gaza yang beradab dengan tetamu, mempamerkan guratan wajah terhias senyuman, berkongsi makanan seperti kek atau coklat yang diagihkan. Kanak-kanak Afghanistan adalah cermin sketsa peperangan, ramai di kalangan mereka adalah anak yatim termasuk sahabat kami, Abdul Rahim, seorang akademisi tempatan yang kehilangan bapa kandungnya saat berumur dua tahun. Jadi, tidak peliklah jika pensyarah kampus itu begitu obses dalam membantu anak yatim.
Afghanistan, rasa aku, jika tidak dikawal oleh kerajaan bernuansa Islam, keadaan negara bergunung-ganang ini sukar untuk mencicip keamanan. Multi etnik di sini seperti Pashtun, Tajik, Uzbek, Hazara dan Baluch paling sukar untuk bersatu, memang mereka diakui bangsa pemberani namun itu tak cukup untuk membangunkan sebuah negara. Aku teringatkan intipati pertemuan dengan Timbalan Presiden IHH Turki suatu ketika di kota Istanbul, “Kanak-kanak adalah generasi masa depan yang akan membina negara, sebab itulah kami mempersiapkan Kompleks Pendidikan Madinatul Aitam di Rayhanli. Mereka adalah kelompok paling terjejas akibat peperangan. Syria, bila berakhir peperangan mesti dibangunkan kembali, maka pendidikan wajib diberikan kepada kanak-kanak mangsa peperangan”, seolah-olah berdengung kepala aku dengan ingatan tulus itu.
Afghanistan dengan masalah yang sama, lima tahun selepas ditinggalkan Amerika bukan mudah membina generasi. Kadar buta huruf masih tinggi, kegagalan membangunkan generasi muda akan memberikan impak kepada pencitraan imej Islam oleh kerajaan Emiriah Islam Afghanistan.
Sebelum ini, NGO Turki adalah barisan paling hadapan membantu umat Islam di pelbagai peta luka umat, mereka bukan sahaja melapik perut insan yang susah namun paling penting ialah membina banyak rangkaian pendidikan. Malangnya di Afghanistan, banyak institusi pendidikan di peringkat tinggi telah ditutup akibat kekurangan dana sebaik sahaja Amerika keluar dari Afghanistan. Sekatan antarabangsa terhadap Afghanistan seperti membunuh masa depan kanak-kanak. Dunia Islam wajib berbuat sesuatu agar pemulihan negara skala mega ini dapat dilaksanakan.
Kenangan lima tahun lalu, kanak-kanak Afghanistan yang aku temui dan lihat dalam misi kemanusiaan Afghanistan kali ini sangat menderita. Musim sejuk mencengkam namun pakaian mereka tidak sempurna dan tidak sempurna gizi makanan. Sebagai mantan pendidik, paling aku sedih apabila mereka tidak dapat membaca serta menulis! Unjuran masa depan dapat kita tebak bila keadaan ini berlaku, sebuah negara yang disosialisasi dengan Islam namun menjadi negara paling mundur dalam dunia. Impaknya akan terpaling hitam kepada agama Islam yang maha indah.
Dalam keterpurukan mereka, beberapa jenis sukan giat diceburi rakyat mereka. Jangan lupa pasukan futsal skuad Harimau Malaya pernah tewas 7-0 kepada pasukan Afghanistan di Velodrom Antarabangsa Jakarta minggu ini! Dengan erti kata lain, negara terpuruk ini juga boleh bingkas bangkit sebagaimana negara lain dalam pelbagai bidang.
Musuh-musuh Islam melakar konspirasi besar untuk memastikan negara ini terpuruk ke belakang, memalit rupa hodoh kepada penganut agama Islam dan inilah asas mengapa Afghanistan menjadi bogey dalam permainan media antarabangsa. Untungnya bumi Afghanistan, walaupun dijajah oleh kuasa adijagat dunia namun mereka tidak mampu membogelkan maruah wanita Afghanistan. Kita tidak akan jumpa wanita mundar mandir tanpa alasan, juga kanak-kanak perempuan meminta sedekah. Adab budaya mereka juga sangat menjaga maruah wanita, tiada wanita menjual maruah diri di kawasan gelap kota Kabul atau Herat.
“Untuk menghancurkan sesuatu tamadun maka hancurkan wanita mereka,” kata-kata itu membenah realiti kehidupan kontemporari. Media asing mengambarkan kerajaan Afghanistan menyekat ruang dan peluang wanita untuk mendapat akses dalam pendidikan dan kerjaya. Namun realiti di lapangan, 150,000 wanita berkhidmat dalam sektor kesihatan negara itu, menurut kata Dr Qalandar Jan, Menteri Kesihatan Afghanistan. Begitu juga, jumlah pelajar dalam bidang pengajian tinggi semakin meningkat, namun kerajaan mengawal etika dan moral rakyat agar mematuhi piawaian Syariah.
Pengalaman menggalang misi kemanusiaan di pelbagai peta luka umat Islam, boleh aku sifatkan pengalaman di tanah khurasan ini paling berharga. Tanpa menafikan indahnya pengalaman di Gaza, namun misi kemanusiaan Afghanistan sangat rencam dan bewarna warni. Selepas lima tahun berdiri kerajaan Emeriah Islam Afghanistan, kondisi negara semakin membaik selain mendapat pengiktirafan pelbagai negara termasuk bekas penjajah mereka sendiri, Soviet.
Negara-negara umat Islam wajib membantu negara ini untuk bangkit kembali. The graveyard of empire mestilah harum mendunia dalam pelbagai bidang. Jiwa lasak mereka mestilah dituang untuk membangun industri, kucuran pelaburan luar daripada negara umat Islam untuk mengeluarkan Afghanistan daripada lingkaran ganas kemiskinan, terutamanya dalam membangunkan pendidikan moden yang bertunjangkan falsafah pendidikan Islam.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 9/2/2026












