Tun M dibenarkan pulang secara berperingkat dari IJN

Tun Dr Mahathir Mohamad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami patah tulang pinggul kanan pada 6 Januari 2026 telah dibenarkan pulang ke kediaman beliau.

- Advertisement -

Pegawai Khas Sufi Yusoff mengesahkan Tun M yang telah dimasukkan ke IJN bagi rawatan susulanterjatuh di kediamannya di The Mines telah dibenarkan ‘home leave’ atau pulang dan tidur di kediaman beliau sejak dua hari lepas, iaitu pada 4 dan 5 Februari 2026.

“Namun pada sebelah siang, beliau tetap pulang ke IJN untuk meneruskan rawatan dan pemerhatian pihak perubatan,” kata Sufi dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, setakat ini, pasukan perubatan di IJN berpuas hati dengan tahap kemajuan pemulihan kesihatan serta tindak balas Dr Mahathir terhadap langkah-langkah perubatan dan fisioterapi.

Tambah beliau, walaupun dibenar pulang ke rumah secara berperingkat,Tun M tetap berada dalam pemantauan pasukan perubatan IJN. 

“Pakar perubatan masih menasihat Dr Mahathir tidak menerima pelawat selain keluarga terdekat buat masa ini.

“Tun M, isteri serta keluarga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa bertanyakan mengenai keadaan kesihatan beliau dan yang mendoakan kesihatan serta kesejahteraan beliau,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2026

- Advertisement -