
KOTA BHARU: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dijangka menampung hampir 10,000 penumpang sehari sempena cuti Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Pengoperasian bangunan terminal baharu itu juga dijangka mengurangkan kesesakan pergerakan penumpang apabila sistem pelepasan dan ketibaan diasingkan sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, persiapan menyeluruh telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan lapangan terbang meliputi aspek operasi, keselamatan, aliran trafik serta kemudahan penumpang bagi memastikan perjalanan berjalan lancar.
Beliau berkata, penyelarasan awal melibatkan pengendalian penerbangan, pengurusan slot waktu, pergerakan di balai berlepas dan ketibaan serta sokongan logistik telah dibuat bagi mengurangkan risiko kesesakan sepanjang tempoh puncak.
“Menurut maklumat yang diterima, rekod tahun lalu menunjukkan LTSIP menerima antara 7,000 hingga 8,000 penumpang sehari dengan 62 penerbangan. Bagaimanapun menjelang musim perayaan tahun ini, dijangka berlaku pertambahan daripada tahun lalu oleh beberapa syarikat penerbangan domestik,” katanya ketika lawatan kerja ke LTSIP, semalam.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail serta ADUN Chempaka, Nik Bahrum Abdullah.
Menurut Izani yang juga ADUN Kijang, sebelum ini pergerakan ketibaan dan pelepasan dikongsi, menyebabkan kepadatan terutama pada waktu puncak.
Namun katanya, pengasingan penuh di terminal baharu akan melancarkan aliran penumpang serta trafik keluar masuk.
Tambah beliau, sasaran operasi turut melibatkan penyusunan pergerakan e-hailing dan teksi bagi mengelakkan kesesakan, termasuk pengurusan parkir yang lebih teratur.
“Ketika ini purata pergerakan penumpang sekitar 4,500 hingga 5,000 orang sehari. Dengan pengasingan ini, kepadatan dijangka berkurang apabila pergerakan diagihkan kepada zon berasingan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kapasiti kaunter daftar masuk akan ditingkatkan daripada 15 kepada 26 kaunter, sekali gus membolehkan terminal bersedia menerima pertambahan penerbangan dan syarikat penerbangan baharu.
“Terminal berkenaan juga menyediakan dewan pelepasan berasingan bagi penerbangan domestik dan antarabangsa, selain kemudahan ketibaan baharu lengkap dengan perkhidmatan buggy bagi membantu penumpang berjarak jauh dari kawasan parkir,” ujarnya.
Tambah beliau, peningkatan kekerapan penerbangan menjadi faktor utama penambahan kapasiti kepada sekitar 9,000 penumpang sehari, sekali gus meletakkan LTSIP sebagai antara terminal udara domestik paling sibuk di Semenanjung Malaysia.
Izani turut menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal termasuk membuat tempahan tiket lebih awal bagi mengelakkan kesulitan serta kenaikan harga saat akhir.
“Rakyat Kelantan yang berada di luar dan merancang menggunakan laluan penerbangan Kuala Lumpur–Kota Bharu dinasihatkan membeli tiket sekarang. Apabila semakin hampir dengan musim perayaan, harga biasanya meningkat. Rancang perjalanan dengan baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2026




















