
KUALA LUMPUR: Perkataan ‘Alhamdulillah’ adalah antara istilah yang dilarang penggunaannya bagi merujuk agama bukan Islam di kebanyakan negeri.
Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, larangan itu bagaimanapun tidak terpakai di Wilayah-wilayah Persekutuan.
“Perkataan Alhamdulillah adalah antara perkataan yang dilarang penggunaannya bagi merujuk agama bukan Islam di kebanyakan negeri walaupun tidak di Wilayah-wilayah Persekutuan.
“Kalau orang bukan Islam mengucapkannya bagi merujuk agama bukan Islam, ia adalah suatu kesalahan di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam,” katanya dalam media sosial miliknya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kenyataan itu merujuk kepada kedudukan undang-undang di kebanyakan negeri.
“Untuk mengelakkan keraguan, kenyataan (itu) adalah kedudukan undang-undang di kebanyakan negeri. Ia terpakai kepada semua,” katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mempersoalkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menggunakan kalimah seperti ‘Alhamdulillah’ dan ‘sujud syukur’ di Dewan Rakyat, menyifatkannya sebagai mengelirukan serta mempermainkan kesucian Islam.
Kor Ming menafikan kenyataan itu, menegaskan beliau menghormati Islam sebagai agama Persekutuan dan menjelaskan istilah tersebut ialah perkataan Arab yang bermaksud ‘bersyukur’. – HARAKAHDAILY 6/1/2026




















