Kesatuan ummah teras kekuatan Islam, Melayu tonggak nusantara

- Advertisement -

KUALA NERUS: Ketua Ulama PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahya menegaskan, kekuatan Islam sepanjang sejarah terbina atas asas kesatuan ummah yang berteraskan akidah dan perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Menurut beliau, seruan utama Nabi Muhammad SAW melalui kalimah tauhid la ilaha illallah telah berjaya menyatukan masyarakat Arab yang sebelum itu berpecah-belah, bermusuhan dan sentiasa berperang sesama sendiri.

- Advertisement -

“Allah SWT mengingatkan bagaimana manusia yang dahulu bermusuh akhirnya disatukan hati-hati mereka sehingga menjadi bersaudara dengan nikmat Islam.

“Inilah kekuatan yang menjadikan umat Islam mampu membina tamadun dan menyebarkan dakwah ke seluruh dunia,” katanya ketika berucap dalam program Malam Melayu Berselawat sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5, di sini.

Beliau menjelaskan, walaupun Rasulullah SAW telah wafat, namun ajaran, sunnah dan perjuangan Baginda terus hidup dalam kehidupan umat Islam hingga ke hari ini.

“Nama Rasulullah tidak pernah hilang, sirah dan perjuangannya terus dihayati, malah akhlak dan sunnah Baginda menjadi panduan dalam membina masyarakat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kekuatan kesatuan yang dibina atas dasar akidah telah melahirkan generasi sahabat dari pelbagai latar belakang seperti Salman al-Farisi dan Suhaib ar-Rumi yang bersama-sama memperkukuh Islam.

“Kesatuan ini bukan sahaja menyatukan kabilah Arab, bahkan merentasi bangsa dan wilayah sehingga Islam berkembang ke seluruh dunia termasuk ke Nusantara,” katanya.

Tambah beliau, Islam yang sampai ke Tanah Melayu dan rantau ini adalah hasil usaha dakwah berterusan generasi terdahulu yang membina tamadun berasaskan ilmu, akidah dan kefahaman yang sahih.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab umat Islam hari ini adalah untuk mempertahankan nikmat kesatuan tersebut serta memastikan ia diwariskan kepada generasi akan datang.

“Kita mesti membina kekuatan dengan perpaduan kerana perpecahan membawa kepada kebinasaan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa dalam konteks Malaysia dan Nusantara, peranan Melayu amat penting sebagai tonggak utama dalam memastikan kestabilan dan kelangsungan Islam.

“Melayu dalam konteks ini boleh diumpamakan seperti Quraisy pada zaman Nabi, iaitu kelompok yang mempunyai pengaruh dalam menyatukan masyarakat.

“Justeru, bangsa Melayu perlu diperkukuh dengan akidah, akhlak dan kesatuan supaya Islam terus terpelihara tanpa meminggirkan kaum lain,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa kesatuan yang dibina atas dasar Islam akan membawa kestabilan politik dan keharmonian masyarakat secara menyeluruh.

“Bina kekuatan dengan perpaduan, tautkan hati manusia di bawah seruan agama Allah SWT agar nikmat ini terus kekal hingga ke generasi akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/4/2026

- Advertisement -