Peranan ahli keluarga kunci berkat, bahagia

- Advertisement -

KUALA NERUS: Pendakwah bebas, Syed Norhisyam Tuan Padang, menegaskan bahawa kebahagiaan sebuah keluarga tidak bergantung kepada satu pihak sahaja, sama ada suami, isteri, ayah atau ibu.

- Advertisement -

Beliau berkata, semua ahli keluarga memainkan peranan masing-masing untuk membina keluarga yang harmoni dan diberkati Allah SWT.

“Merujuk kisah keluarga Nabi Ibrahim A.S, isterinya Sarah, dan anaknya Ismail sebagai contoh keluarga yang hebat.

Kejayaan Nabi Ismail menjadi seorang anak yang soleh adalah hasil didikan seorang ibu yang hebat, Hajar, yang penuh yakin dengan perintah Allah ketika ditinggalkan di Makkah.

“Anak menjadi hebat kerana ibu yang hebat. Hajar yakin dengan Allah dan mendidik Ismail dengan penuh keimanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Bicara Keluarga Bahagia dan Sejahtera sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Syed Norhisyam turut menceritakan pengalaman seorang ayah yang menyalahkan isteri kerana anak mereka tidak menjadi seperti Ismail.

“Ibu pula menyalahkan suami kerana tidak seperti Nabi Ibrahim.

“Anak-anak turut membandingkan ibu bapa mereka dengan Hajar dan Ibrahim,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, sikap menyalahkan satu pihak sahaja tidak akan menyelesaikan masalah.

“Keluarga yang bahagia terbina apabila suami, isteri, ibu, ayah dan anak masing-masing memainkan peranan dengan baik. Ini adalah asas pembentukan keluarga dalam Islam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa pembentukan keluarga adalah tuntutan agama dan sebahagian daripada ibadah kepada Allah.

“Contohnya, menolong isteri, mendidik anak-anak, dan bahkan ayah yang bangun tengah malam memberi susu kepada anak mendapat pahala,” katanya.

Syed Norhisyam turut mengingatkan generasi muda agar memahami matlamat sebenar berkahwin.

“Berkahwin bukan sekadar untuk mempunyai pasangan atau anak, tetapi membina keluarga adalah sunah Nabi Muhammad SAW.

“Semua amalan dalam rumah tangga boleh menjadi ibadah,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, anak-anak soleh yang ditinggalkan oleh ibu bapa, akan mendoakan kedua orang tua mereka selepas meninggal dunia turut menjadi sumber pahala yang berterusan.

Selain itu, Syed Norhisyam menekankan kepentingan suasana persekitaran keluarga dan komuniti dalam membentuk anak-anak.

Katanya, anak yang dibesarkan di rumah yang dikelilingi pengaruh negatif tetap terdedah walaupun ibu bapa mereka soleh.

Beliau juga menyentuh isu generasi muda yang enggan berkahwin kerana bimbang tanggungjawab.

Menurutnya, pemikiran ini dipengaruhi budaya Barat dan tidak selari dengan ajaran Islam.

“Dalam Islam, berkahwin dan membina keluarga adalah sunah Nabi Muhammad SAW dan sebahagian daripada ibadah.

Syed Norhisyam menekankan, sepanjang perkahwinan, semua tindakan termasuk mendidik anak, membantu isteri, dan bahkan melayani keperluan pasangan, boleh membawa pahala.

“Para ayah tidak perlu segan untuk bangun tengah malam memberi susu kepada anak, kerana ia lebih afdhal daripada sembahyang sunat beberapa rakaat.

“Berkeluarga bukan sekadar memenuhi keperluan dunia, tetapi membina ibadah dan keberkatan dari Allah. Semua peranan dalam keluarga adalah penting dan saling mempengaruhi,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/4/2026

- Advertisement -