
KUALA NERUS: Peranan ibu sebagai pendidik utama dalam institusi keluarga dilihat sebagai kunci utama kepada pembentukan masyarakat sejahtera dan perpaduan ummah yang kukuh.
Timbalan Pengerusi Maahad Tahfiz Pattani, Thailand, Lateefa Kasamasu berkata dalam konteks masyarakat Patani, pendidikan anak tidak hanya bergantung kepada ibu bapa semata-mata, sebaliknya turut diperkukuh melalui peranan masjid, pondok serta komuniti setempat yang saling melengkapi.
“Ibu memainkan peranan besar kerana banyak masa bersama anak di rumah. Nilai agama dan akhlak ditanam melalui perbuatan, bukan sekadar nasihat,” katanya ketika menjadi panel dalam program Bicara Keluarga Bahagia dan Sejahtera sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, amalan tradisi seperti makan bersama, gotong-royong dan budaya menghormati ibu bapa terus dipertahankan sebagai asas keharmonian keluarga, sekali gus membentuk generasi yang berakhlak dan berdisiplin.
Dalam masa sama, Lateefa menegaskan bahawa kekuatan sesebuah keluarga tidak hanya diukur melalui aspek material, tetapi bergantung kepada kekuatan tauhid dan keimanan kepada Allah SWT.
“Bila ada keyakinan kepada Allah, kebahagiaan dan kejayaan akan menyusul walaupun dalam keadaan sederhana,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Lateefa menekankan bahawa keluarga bukan sekadar tempat berlindung, tetapi merupakan pusat tarbiah, kasih sayang dan pembinaan nilai yang menentukan hala tuju masa depan anak-anak.
“Pembentukan keluarga sejahtera memerlukan keseimbangan tiga elemen utama iaitu tauhid, kasih sayang dan akal yang seiring.
“Jika salah satu tiada, keseimbangan keluarga akan terganggu dan sukar melahirkan generasi yang utuh,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perpaduan ummah tidak terbina di pentas besar semata-mata, sebaliknya bermula dari rumah melalui didikan ibu bapa.
“Ibu menentukan arah anak sejak kecil. Kalau bukan kita yang membentuk generasi akan datang, siapa lagi?” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa agar menanam cita-cita tinggi serta nilai murni dalam diri anak-anak bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja berjaya, malah berakhlak dan mampu menjadi asas kepada perpaduan masyarakat dan negara. – HARAKAHDAILY 3/4/2026











