
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil memberi amaran bahawa isu kad pengenalan (MyKad) dan sistem identiti boleh membawa implikasi yang besar terhadap keselamatan negara.
Menurut beliau, sebarang kelemahan dalam sistem pengenalan diri boleh membuka ruang kepada pelbagai ancaman termasuk penyalahgunaan identiti, penipuan serta kemasukan individu tidak sah ke dalam negara.
Katanya, kad pengenalan bukan sekadar dokumen biasa, tetapi merupakan asas kepada sistem keselamatan dan pentadbiran negara di mana jika integriti ini tergugat, maka risiko kepada keselamatan nasional turut meningkat.
“Ini melibatkan soal kedaulatan. Kita tidak boleh berkompromi dengan kelemahan dalam sistem identiti,” tegasnya dalam Podcast Jalan Pahang, di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa sistem pengenalan diri yang lemah boleh memberi kesan berantai kepada pelbagai sektor lain termasuk penguatkuasaan undang-undang, pengurusan imigresen serta keselamatan sempadan negara.
Katanya, apabila identiti tidak dapat disahkan dengan tepat, ia menyukarkan pihak berkuasa mengesan individu berisiko atau yang terlibat dalam aktiviti jenayah.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa kelemahan dalam sistem ini boleh dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk kepentingan tertentu, termasuk mendapatkan akses kepada kemudahan awam atau hak yang sepatutnya hanya diberikan kepada warganegara sah.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa isu ini perlu ditangani secara menyeluruh dan bukan sekadar bersifat reaktif.
Katanya, kerajaan perlu melihat semula keseluruhan rantaian pengurusan sistem identiti negara, daripada proses pendaftaran sehinggalah kepada pemantauan dan penguatkuasaan.
Tambah beliau, penggunaan teknologi moden serta integrasi data antara agensi juga perlu diperkasa bagi memastikan sistem lebih kebal daripada sebarang cubaan manipulasi.
Pada masa yang sama gesa Isham, aspek keselamatan data dan privasi rakyat juga perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan untuk memastikan jaminan perlindungan.
Beliau turut mengingatkan bahawa kepercayaan rakyat terhadap sistem identiti negara adalah sangat penting.
Sekiranya timbul keraguan terhadap ketulenan atau keselamatan kad pengenalan, ia boleh memberi kesan besar terhadap kestabilan sosial dan keyakinan terhadap institusi kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar pihak berkuasa menjalankan audit menyeluruh serta memperkukuh sistem sedia ada bagi memastikan tiada ruang manipulasi atau penyelewengan berlaku.
“Ini bukan isu kecil atau terpencil, tetapi melibatkan keselamatan negara secara keseluruhan. Tindakan tegas dan segera perlu diambil,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 3/4/2026











