
KUALA NERUS: Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya menggesa pemimpin politik supaya lebih terbuka mendengar pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha menyelesaikan isu negara.
Menurut beliau, suara NGO wajar diberi perhatian kerana golongan tersebut memiliki kepakaran serta idea bernas yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara, namun sering dipinggirkan dalam proses membuat keputusan.
“Saya berharap pemimpin mendengar suara rakyat dan NGO melalui perbincangan yang inklusif. Saya merasa sedih kerana sebelum ini, NGO sering dipinggirkan dan tidak disantuni dengan baik oleh parti politik.
“Sedangkan NGO mempunyai pakar dan pendidik yang penuh dengan idea-idea bernas,” katanya ketika berpidato sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang berlangsung di sini, malam ini.
Mengulas lanjut mengenai penyatuan, Aminuddin berkata, cabaran utama untuk mencapainya adalah kegagalan pemimpin politik untuk berkongsi kuasa.
Katanya, selagi parti-parti politik cenderung untuk menguasai keseluruhan kerusi Parlimen secara bersendirian, usaha membina perpaduan yang kukuh akan terus berdepan kesukaran.
“Bagi saya, perpaduan bukan sekadar tentang berkumpul, tetapi apa agenda di sebaliknya. Jika kita tidak jelas dengan apa yang mahu dilakukan, perpaduan itu tidak memberi makna,” jelasnya.
Beliau turut mengimbas sejarah penyatuan orang Melayu yang pernah berlaku dalam beberapa peristiwa penting sebelum ini, namun gagal dipertahankan dalam jangka panjang.
“Kita pernah bersatu ketika peristiwa 13 Mei, namun kemudiannya kita berpecah. Kita bersatu kembali pada PRU-14, tetapi selepas itu kita berpecah lagi. Saya tidak pasti apa punca kesukarannya yang menyebabkan orang Melayu sukar untuk mengekalkan penyatuan.
“Saya berharap program hari ini menjadi titik tolak kepada penyatuan yang kekal selama-lamanya bagi orang Melayu. Terbukti apabila kita bersatu, kita mampu menghadapi cabaran dengan mudah dan memperoleh majoriti dua pertiga dalam konteks politik.
“Namun, apabila kita gagal bersatu, isu kecil pun tidak mampu kita selesaikan sehingga sekarang,” katanya. – *HARAKAHDAILY 5/4/2026*
















