
KUALA NERUS: Hak kehidupan bernegara setiap rakyat tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan budaya perlu dihormati demi memastikan keharmonian serta kestabilan negara terus terpelihara.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, prinsip itu penting dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini yang terdiri daripada pelbagai etnik dan kepercayaan.
Menurut beliau, kepimpinan Islam juga tidak pernah menafikan hak mana-mana pihak dalam sebuah negara, sebaliknya menekankan keadilan serta kehidupan bersama secara aman dan harmoni.
“Walau di mana jua kita berada, kita hidup dalam lingkungan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum, etnik, budaya dan bahasa.
“Maka sudah tentu tidak ada dalam kalangan kita, termasuk kepimpinan di atas pentas ini, yang ingin menafikan hak sesiapa jua sebagai rakyat dalam sebuah negara. Hak kehidupan bernegara ini adalah hak yang perlu dihormati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berpidato sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang berlangsung di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, semua pihak perlu terus memelihara keamanan dengan tidak mengganggu hak yang dijamin dalam Perlembagaan.
“Kita semua ingin hidup secara sejahtera, aman dan harmoni tanpa mengganggu hak-hak yang dijamin dalam Perlembagaan negara yang sama-sama kita terima,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua penceramah, pembentang serta peserta dari dalam dan luar negara yang menyertai program berkenaan.
Katanya, pelbagai isu penting dibincangkan termasuk pengurusan perbezaan pandangan fiqh dan mazhab, kepimpinan Islam di rantau ASEAN, pembinaan ekonomi Muslim di Nusantara serta usaha memperkukuh jati diri umat dalam menghadapi cabaran semasa.
Untuk rekod, Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang bertemakan ‘Satu Ummah’ bertujuan memperkukuh agenda perpaduan ummah di seluruh Alam Melayu sebagai langkah mendesak dalam menghadapi cabaran semasa.
Pengarah program, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, usaha memperkasa kesatuan itu penting berikutan landskap sosial, ekonomi dan geopolitik global yang semakin tidak menentu ketika ini.
Program itu juga menghimpunkan tokoh-tokoh dalam dan luar negara, termasuk mantan Naib Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi dan Pendakwah Antarabangsa, Dr Zakir Naik.
Acara kemuncak dengan Pidato Penyatuan Ummah menampilkan barisan pemimpin pelbagai parti antaranya Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Juga Ketua Pembangkang Parlimen, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan Presiden PEJUANG, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Dr Mahathir serta Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim.
Selain Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya serta Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa. – HARAKAHDAILY 5/4/2026











