
KUALA NERUS: Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin menegaskan bahawa Perpaduan Ummah adalah perkara amat penting dan diwajibkan oleh Allah SWT.
Beliau berkata, Allah memerintahkan umat Islam supaya bersatu serta melarang perpecahan, malah kekuatan umat akan hilang sekiranya terus berpecah-belah.
“Rakyat sudah nak bersatu, tapi pemimpin ada yang tak mahu bersatu. Saya harap kalau ada pemimpin yang tak mahu bersatu, rakyat di bawah boleh jatuhkan pemimpin yang tak mahu bersatu. Kerana mereka menjadi pemimpin bila dipilih oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pidato Penyatuan Ummah bersempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini semalam.
Menurutnya, walaupun umat Islam berjumlah kira-kira dua bilion atau 25 peratus daripada populasi dunia, mereka masih lemah kerana tidak bersatu.
Beliau berkata, asas kepada penyatuan ialah ketaatan kepada Allah dan Rasul serta larangan bertelingkah, berbalah dan berpecah kerana ia akan melemahkan kekuatan umat.
Katanya, keadaan itu juga digambarkan dalam hadis Rasulullah SAW bahawa umat Islam akan dikerumuni musuh seperti orang lapar mengerumuni makanan, walaupun jumlah mereka ramai tetapi tidak mempunyai kekuatan, seumpama buih di lautan.
Mohd Nassuruddin berkata, sejarah turut membuktikan perpecahan boleh berlaku walaupun dalam kalangan saudara sendiri seperti Aus dan Khazraj yang berperang selama 120 tahun akibat dilaga-lagakan, sebelum disatukan semula oleh Nabi Muhammad SAW.
“Islam menyatukan, tetapi kita hari ini berpecah walaupun sesama sendiri. Rakyat perlu sedar dan pemimpin perlu lebih sedar untuk memastikan perpaduan dapat dicapai,” katanya.
Beliau turut mengingatkan parti-parti supaya tidak melantik pemimpin yang mempunyai masalah kerana ia boleh menjejaskan usaha penyatuan apabila kepentingan peribadi diutamakan.
Katanya, bagi mencapai perpaduan, semua pihak perlu bertolak ansur dengan bekerjasama dalam perkara yang dipersetujui dan bertolak ansur dalam perkara yang tidak dipersetujui.
“Lebih baik kita berbahagi kita menang daripada kita bolok (berebut) kita saja, tapi bila bertanding, kita kalah,” katanya. HARAKAHDAILY 5/4/2026











