
KUALA NERUS: Umat Islam diseru bersatu tanpa mengira perbezaan mazhab, kerana kelemahan utama umat Islam hari ini bukanlah disebabkan olej kekuatan musuh, sebaliknya berpunca daripada perpecahan dalaman.
Presiden PEJUANG, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir berucap demikian dalam Pidato Perdana Penyatuan Ummah Malaysia sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Kelima 2026, di sini semalam.
“Musuh tidak peduli sama ada kita Sunni atau Syiah. Mereka hanya melihat kita sebagai Muslim. Tetapi kita sendiri berpecah-belah kerana perkara remeh,” katanya.
Beliau turut membangkitkan realiti konflik di Palestin, Gaza, Kashmir dan Yaman sebagai bukti bahawa penindasan tidak memilih mazhab, sebaliknya menimpa umat Islam secara keseluruhan.
Menurutnya, meskipun berpegang teguh kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, beliau tidak menafikan peranan dan pengorbanan sebahagian kelompok Syiah dalam menentang penindasan, khususnya di Palestin dan Lubnan.
“Jangan kerana perbezaan teologi kita menafikan keadilan. Ada antara mereka yang ikhlas berjuang dan berkorban untuk umat,” ujar bekas Menteri Besar Kedah itu.
Dalam masa sama, beliau turut menegur tindakan segelintir pihak yang menghina Sahabat Nabi serta mencetuskan konflik sesama umat, sambil menegaskan bahawa tidak semua dalam sesuatu kelompok boleh digeneralisasikan.
Mukhriz juga mengingatkan bahawa perpaduan tidak bermaksud keseragaman, sebaliknya menuntut keutamaan terhadap kepentingan ummah mengatasi ego dan perbezaan.
Beliau turut mengkritik sikap sesetengah pihak yang lebih mengutamakan sempadan negara berbanding kesatuan umat Islam global, sambil mempersoalkan asal-usul pembahagian wilayah yang menurutnya berpunca daripada penjajahan.
“Allah tidak menyebut umat berdasarkan negara, tetapi umat yang satu. Kita yang meletakkan sempadan itu lebih tinggi daripada kesatuan akidah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh peranan golongan bukan Islam yang menyokong perjuangan keadilan, termasuk sebahagian masyarakat Kristian di Barat dan Lubnan yang lantang menentang kezaliman terhadap Palestin.
Katanya, keadilan menuntut agar sekutu diiktiraf berdasarkan prinsip yang diperjuangkan, walaupun berbeza akidah.
Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam agar menghentikan perpecahan, meninggalkan persengketaan lama serta kembali bersatu di bawah panji tauhid.
“Bangkit sebagai satu ummah. Bila kita berdiri bersama, dunia akan gentar dan kemenangan itu akan menjadi milik kita, insya-Allah,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 5/4/2026











