
KUALA NERUS: Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim menegaskan bahawa kepimpinan politik dan masyarakat merupakan penggerak utama dalam merealisasikan penyatuan ummah di Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Pidato Perdana Penyatuan Ummah Malaysia sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah & Himpunan Alam Melayu 2026, di sini semalam.
“Islam itu asas, kuasa adalah penjaga kepada agama. Hilangnya kuasa, maka runtuhlah agama,” katanya mengingatkan pandangan Imam al-Ghazali itu bahawa agama memerlukan kuasa sebagai pelindung.
Menurut beliau, terdapat dua bentuk kuasa iaitu kuasa yang mampu digunakan untuk menguasai dan mempertahankan agama, serta kuasa yang wujud tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau mempersoalkan realiti semasa apabila umat Islam memiliki kedudukan dalam pemerintahan, namun masih gagal menggunakan kuasa tersebut secara berkesan.
“Kita ada kuasa, tetapi adakah kita mampu menggunakannya untuk menjaga agama, atau sebenarnya kita dikuasai oleh kuasa lain?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa penyatuan adalah kunci untuk mengembalikan kekuatan umat Islam, tetapi ia tidak akan berlaku secara sendiri, sebaliknya memerlukan penggerak utama dalam kalangan pimpinan yang diberi mandat oleh rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa barisan pemimpin di pentas utama, termasuk tokoh politik dan badan bukan kerajaan (NGO), perlu memainkan peranan aktif dengan duduk semeja dan merangka strategi penyatuan secara berterusan.
Beliau menyifatkan pertemuan meja bulat yang berlangsung sebelum itu sebagai permulaan yang baik, namun menegaskan bahawa usaha tersebut tidak boleh terhenti dengan sembilan resolusi semata-mata.
“Kita perlu terus berbincang, memperincikan strategi, objektif dan pelaksanaan sehingga penyatuan itu benar-benar dapat direalisasikan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru agar semua pihak membuang sikap ego dan kepentingan peribadi, serta meletakkan kepentingan agama sebagai keutamaan.
Menurutnya, usaha penyatuan ini bukan sekadar tuntutan politik, bahkan merupakan amanah besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
Beliau turut mengajak seluruh hadirin agar mendoakan kekuatan dan kesihatan para pemimpin supaya mampu terus berunding dan bekerjasama.
Ustaz Zamani optimis bahawa dengan kesungguhan semua pihak, penyatuan ummah mampu dicapai dalam tempoh terdekat, termasuk menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). – HARAKAHDAILY 5/4/2026











