Pembakaran terbuka: PBT boleh kenakan kompaun

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tindakan Alam Sekitar memperkasakan pewartaan penurunan kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengenakan tindakan terhadap aktiviti pembakaran terbuka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, ia merupakan isu serius yang perlu dipantau dengan ketat ketika musim kemarau yang bermula awal 2026.

- Advertisement -

Beliau berkata, walaupun PBT tidak mempunyai hak perundangan melaksanakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, namun melalui pewartaan tersebut Jabatan Alam Sekitar (JAS) memberi penguatkuasaan kepada semua PBT.

“Dalam mesyuarat jawatankuasa ini dimaklumakan mengenai hasil Mesyuarat Exco-Exco Alam Sekitar Kebangsaan (MEXCOE) mengenai warta penurunan JAS kepada PBT untuk mengkompaun kesalahan pembakaran sampah tempat terbuka.

“Ketika panas dan kemarau, risiko pembakaran terbuka meningkat dan merupakan satu kesalahan yang boleh menyebabkan jerebu, pencemaran udara, kebakaran tidak terkawal serta ancaman kesihatan awam,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Alam Sekitar di Bilik Gerakan Mabna Membangun Bersama Islam (MBI), Kompleks Kota Darulnaim di sini.

Turut hadir Timbalan Exco merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Dato’ Abdul Rahman Yunus dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Ab Pattah bin Hasbullah.

Dalam mesyuarat itu kerajaan negeri turut dimaklumkan mengenai status kualiti air dan udara khasnya di Kelantan yang dipantau secara berterusan JAS melalui Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan Indeks Kualiti Air (IKA).

Sehubungan itu beliau berkata, walaupun IPU dan IKA di Kelantan secara amnya stabil, namun bagi kawasan tertentu mungkin mengalami penurunan kualiti udara kerana ia bergantung aktiviti pembakaran terbuka dan cuaca setempat.

“Kita turut dibentangkan tentang laporan IKA dan IPU bagi Negeri Kelantan bagi Tahun 2025, alhamdulillah, sehingga setakat ini kualiti air dan udara kita berada dalam keadaan yang baik, lagi memuaskan.

“Satu lagi adalah mengenai warta penurunan kuasa oleh JAS kepada PBT untuk mengkompaun kesalahan pembakaran sampah di tempat terbuka,” jelasnya.

Tambah beliau, tindakan tegas akan dikenakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap mana-mana individu atau pemilik tanah melakukan pembakaran terbuka seperti kompaun sehingga RM2,000 bagi setiap kesalahan.

“Ia termasuk denda minimum RM25,000 sehingga RM1 juta selain hukuman penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/2/2026

- Advertisement -