Pengganas sebenar ialah Israel – Mohd Nassuruddin

Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besa Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud menyifatkan sokongan Amerika Syarikat terhadap Israel kini semakin melemah, khususnya sudut diplomasi dan sokongan awam, meskipun kempen ketenteraan masih diteruskan.

Menurutnya, jika diibaratkan di sebuah pulau, penduduknya melihat atau menerima hakikat yang salah bahawa manusia yang mempunyai hanya sebelah adalah manusia yang sempurna.

- Advertisement -

“Namun, apabila ada sebuah kapal yang dirempuh ombak terlalu besar pecah di tengah laut, ada seorang individu yang sempat bergantung serpihan kapal hanyut ke pulau itu.

“Orang yang hanyut ini mempunya kedua-dua belah tangan, menyebabkan semua orang di pulau itu terkejut melihat kejadian ini, lalu dia kata ada orang cacat hanyut di pulau kita (sedangkan yang ada dua belah tangan ini yang sebenarnya tidak cacat), jadi, (orang-orang di pulau itu) inilah (wajah) Amerika Syarikat yang sebenarnya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Program Minggu al-Quds Sedunia 2026 yang diadakan bagi peringkat Negeri Kelantan di Dataran Medan Ilmu, Jalan Dato Pati, di sini.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob; Pengerusi Lajnah Antarabangsa, Dato’ Abdullah Ya’kub dan Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitul Maqdis UUM, Prof Madya Dr Aminurashid Yatiban.

Mohd Nassuruddin menggunakan analogi itu bagi memberi gambaran konflik Gaza dan Israel, yang didokong kuat oleh Amerika Syarikat (AS) yang melabelkan pejuang HAMAS bermati-matian mempertahankan tanah air sebagai pengGanas.

Sedangkan katanya, pengganas sebenar adalah Israel kerana penjajahan berterusan dan hak kedaulatan dinafikan selain beberapa siri tindakan ketenteraan dan dasar politik yang dilihat melanggar hak asasi manusia.

Menurutnya umat Islam seluruh dunia tidak lagi boleh mengharapkan badan dunia seperti Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam
membela nasib orang Islam ditindas kuasa besar.

“Macam mana kita nak buat kira, PBB pun sudah tiada, ada pada nama pun tak boleh buat apa dah sebab itu kita orang Islam tidak ada cara lain, kita kena bina kekuatan dengan kita bersatu atas nama ‘tali Allah’.

“Nak harapkan bangsa arab membebaskan Baitul Maqdis, Arab pun pecah sesama dia, Arab ni dia berpakat untuk tidak berpakat, ini kena tahu itulah dunia arab pada hari ini, mereka berpakat untuk tidak berpakat,” katanya – HARAKAHDAILY 3/3/2025

- Advertisement -