Kelantan hargai kelulusan naik taraf LRTB FT4 Jeli RM96j

- Advertisement -

JELI: Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi atas kelulusan projek menaik taraf Lebuh Raya Timur-Barat (LRTB) FT4 dari Seksyen 198.4 hingga 244.9 di Jeli yang melibatkan peruntukan sebanyak RM96 juta.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Dato’ Dr Izani Hussein berkata, projek sepanjang 46.5 kilometer (km) itu merupakan keperluan mendesak demi keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.

Menurut beliau, projek berkenaan melibatkan kerja-kerja penambahbaikan lorong memotong, pembaikan permukaan jalan, pembaikan lubang benam (sinkhole), pemasangan lampu solar serta beberapa komponen keselamatan lain.

“Terima kasih kepada Menteri Kerja Raya atas kelulusan menaik taraf Lebuh Raya Timur-Barat FT4 di Jeli.

“Projek ini amat penting kerana ia merupakan laluan darat utama yang menghubungkan Kelantan dan Perak serta kawasan Timur dan Barat,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa apabila projek berkenaan siap sepenuhnya kelak, ia dijangka memberi keselesaan yang lebih baik kepada pengguna selain meningkatkan tahap keselamatan di laluan berkenaan.

“Sudah tentu siapnya projek ini nanti bakal menjadi satu kesenangan kepada pengguna jalan raya yang menggunakan laluan utama ini,” ujarnya.

Lawatan kerja tersebut berlangsung selama dua hari bermula 1 Februari 2026 di Jeli dan diteruskan pada hari berikutnya, 2 Februari dengan tinjauan ke beberapa lokasi jalan raya kritikal di negeri ini. -HARAKAHDAILY 3/2/2026

- Advertisement -