Lintasan Rafah kembali dibuka, namun Gaza masih terpenjara

- Advertisement -

GAZA: Selepas berbulan-bulan Semenanjung Gaza terputus hampir sepenuhnya daripada dunia luar, Israel pada Isnin membuka semula lintasan Rafah secara terhad, satu langkah penting di bawah gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS).

Namun proses itu berjalan perlahan apabila pemeriksaan keselamatan ketat Israel menyebabkan pergerakan rakyat Palestin keluar masuk kekal terhad, ketika lebih dua juta penduduk Gaza terus hidup dalam kepungan perang dan kemusnahan.

- Advertisement -

Menurut laporan media antarabangsa, Lintasan Rafah yang terletak di tengah runtuhan akibat serangan berterusan, merupakan satu-satunya laluan masuk dan keluar utama bagi hampir keseluruhan penduduk Gaza.

Laluan itu sebahagian besarnya ditutup sepanjang perang dan pembukaan semulanya adalah antara keperluan utama di bawah fasa awal gencatan senjata yang dicapai pada Oktober lalu.

Tambah laporan tersebut, lintasan itu dibuka sekitar jam 9 pagi Isnin, dengan kira-kira 50 rakyat Palestin dijangka memasuki Gaza dan jumlah yang sama dibenarkan keluar, kebanyakannya pesakit di hospital yang memerlukan rawatan perubatan khusus di luar wilayah itu.

Bagaimanapun, menurut sumber Mesir dan Palestin, menjelang malam Isnin, hanya 12 rakyat Palestin dibenarkan masuk semula ke Gaza, manakala 38 individu lagi gagal melepasi pemeriksaan keselamatan dan terpaksa bermalam di bahagian Mesir di lintasan berkenaan.

Sementara bagi pergerakan keluar, Israel hanya membenarkan lima pesakit menyeberang ke Mesir, masing-masing diiringi dua ahli keluarga, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang berjaya menyeberang pada hari pertama pembukaan semula lintasan itu hanya 27 orang.

Pegawai Palestin dilaporkan menyalahkan kelewatan itu kepada pemeriksaan keselamatan Israel yang ketat, sementara tentera Israel tidak memberikan sebarang komen segera.

Bagi penduduk Gaza, Lintasan Rafah dianggap sebagai ‘talian hayat’, khususnya kepada ribuan pesakit yang memerlukan rawatan segera.

“Lintasan sempadan itu adalah talian hayat untuk Gaza, ia adalah talian hayat untuk kami, pesakit,” kata Moustafa Abdel Hadi, 32, pesakit dialisis buah pinggang di Hospital Syahid Al-Aqsa di tengah Gaza, sambil menyatakan harapan untuk kembali menjalani kehidupan normal.

Dianggarkan kira-kira 20,000 penduduk Gaza kini menunggu peluang untuk keluar bagi mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.

Terdahulu, Israel telah merampas kawalan lintasan Rafah pada Mei 2024, kira-kira tujuh bulan selepas perang Gaza bermula, dan sejak itu laluan berkenaan hampir sepenuhnya ditutup kecuali untuk tempoh singkat semasa gencatan senjata terdahulu pada awal 2025.

Pembukaan semula Rafah adalah antara syarat utama gencatan senjata Oktober tahun lepas, yang menggariskan fasa pertama pelan Presiden AS, Donald Trump untuk menghentikan pertempuran antara Israel dan HAMAS.

Pada Januari lalu, Trump mengumumkan permulaan fasa kedua yang melibatkan rundingan berkaitan tadbir urus dan pembinaan semula Gaza.
Laporan media berkata, walaupun lintasan dibuka semula, keganasan masih dilaporkan berlaku apabila serangan Israel pada Isnin mengorbankan sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, dalam insiden berasingan di utara dan selatan Gaza.

Tentera Israel bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen segera berhubung kejadian itu.

Sebelum penutupan Lintasan Rafah, kira-kira 100,000 rakyat Palestin pernah keluar ke Mesir melalui laluan tersebut.

Mesir berulang kali menegaskan ia tidak akan membenarkan penghijrahan besar-besaran, namun Lintasan Rafah kekal penting bagi kes kecemasan perubatan.

Menurut tiga sumber Mesir, semua individu yang ingin menyeberang perlu mendapatkan kelulusan keselamatan Israel, manakala kawasan lintasan kini diperkukuh dengan dinding konkrit bertetulang dan dawai berduri.

Proses kawalan melibatkan tiga pintu pemeriksaan, termasuk satu yang ditadbir Pihak Berkuasa Palestin yang diiktiraf antarabangsa di bawah pemantauan pasukan Kesatuan Eropah, namun dikawal dari jauh oleh Israel.

Walaupun Rafah dibuka semula, Israel masih enggan membenarkan kemasukan wartawan asing ke Gaza, larangan yang berkuat kuasa sejak awal perang.

Pelaporan media antarabangsa, termasuk Reuters, kini bergantung sepenuhnya kepada wartawan tempatan di Gaza, ratusan daripadanya telah terbunuh sepanjang konflik.

Sementara itu, Mahkamah Agung Israel kini sedang mempertimbangkan petisyen oleh Persatuan Akhbar Asing yang menuntut wartawan asing dibenarkan masuk, namun kerajaan Israel berhujah bahawa kehadiran mereka boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada tenteranya.

Di bawah fasa pertama gencatan senjata, pertempuran besar-besaran dihentikan, tebusan yang ditahan di Gaza dibebaskan sebagai pertukaran ribuan tahanan Palestin, dan lonjakan bantuan kemanusiaan dijanjikan.

Namun di lapangan, Israel kini menguasai lebih 53 peratus wilayah Gaza, mengarahkan penduduk berpindah dan memusnahkan banyak bangunan, menyebabkan rakyat Gaza terpaksa bertumpu di jalur sempit di sepanjang pantai dan tinggal di khemah sementara atau bangunan rosak.

Fasa seterusnya menurut pelan Trump meramalkan HAMAS bakal menyerahkan senjata dan menyerahkan kawalan kepada pentadbiran yang disokong antarabangsa bagi menyelia pembinaan semula, termasuk pembangunan kediaman mewah di sepanjang pesisir Mediterranean, namun cadangan itu dilihat tidak realistik oleh ramai pihak.

HAMAS dilaporkan masih belum bersetuju melucutkan senjata, manakala Israel menyatakan kesediaannya untuk menyambung semula perang. – HARAKAHDAILY 3/2/2026

- Advertisement -