Perlu ditangani ikut saluran undang-undang

Rumah ibadat tanpa kelulusan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) berpandangan isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan perlu ditangani secara adil dan berhemah melalui saluran undang-undang sedia ada bagi memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini terus terpelihara.

Ketua Penerangannya, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, perkara berkaitan pembinaan struktur tanpa kebenaran, termasuk rumah ibadat, berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan serta agensi penguat kuasa berkaitan dan perlu diurus mengikut peraturan yang ditetapkan.

- Advertisement -

Menurutnya, pelaksanaan undang-undang secara konsisten tanpa dipengaruhi sentimen perkauman atau keagamaan penting bagi mengelakkan ketegangan antara komuniti.

“Undang-undang sedia ada telah memberikan kuasa yang jelas termasuk pihak berkuasa untuk menyiasat, mengeluaran notis dan mengambil tindakan sewajarnya dan di situlah ruang tindakan yang sebenar perlu difokuskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, sebagai sayap PAS yang mewakili masyarakat bukan Islam, DHPP berpandangan naratif awam berkaitan isu ini perlu dikendalikan dengan cermat agar tidak menimbulkan salah faham atau menyentuh sensitiviti mana-mana komuniti.

Beliau menjelaskan, tumpuan seharusnya diberikan kepada pematuhan undang-undang serta penambahbaikan sistem pemantauan dan kelulusan, bukannya polemik yang boleh mencetuskan ketegangan.

“Tumpuan harus diberikan kepada aspek pematuhan undang-undang serta penambahbaikan sistem pemantauan dan kelulusan,” katanya.

Beliau turut mengaitkan pendekatan tersebut dengan prinsip Islam yang menekankan keadilan, hikmah dan kehidupan bersama secara aman dalam masyarakat pelbagai agama seperti yang digariskan dalam Piagam Madinah dan prinsip “Lakum dinukum waliyadin”.

“Prinsip ini selari dengan semangat Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang dibina atas asas saling hormat-menghormati,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam konteks Malaysia yang sering menjadi perhatian antarabangsa, kepimpinan wajar mengutamakan pendekatan matang dan berhemah berlandaskan konsep Rahmatan lil ‘Alamin.

“DHPP menghormati sebarang tindakan yang diambil melalui saluran peraturan dan penguatkuasaan undang-undang yang sah sebagai pendekatan yang lebih tepat dan matang selari dengan realiti masyarakat majmuk negara ini,” katanya.- HARAKAHDAILY 3/2/2026

- Advertisement -