Pembangunan TOD ECRL Terengganu ikut jadual

Siap berperingkat hingga 2028

- Advertisement -

DUNGUN: Pembangunan Projek Pembangunan Berorientasikan Transit (Transit Oriented Development-TOD) bagi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu berjalan mengikut jadual yang ditetapkan dan akan disiapkan secara berperingkat sehingga tahun 2028.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, perkara itu dimaklumkan hasil taklimat yang diterima daripada pihak ECRL semasa lawatan rasmi ke tapak TOD di Kampung Batu Tujuh, di sini.

- Advertisement -

Menurutnya, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pemantauan pelaksanaan TOD bagi memastikan pembangunannya selari dengan perancangan awal dan sejajar dengan sasaran operasi ECRL yang dijangka bermula pada awal 2027.

“Daripada taklimat yang diberi oleh pegawai daripada ECRL tadi, dia masih lagi ikut jadual dan di peringkat negeri dalam konteks TOD pun kita akan pastikan bahawa kita mengikut perancangan sebelum ini yang kita buat,” katanya dalam satu sidang media, di sini.

Tambah beliau, pembangunan TOD di Terengganu telah bermula sejak tahun lalu dan akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan perancangan lebih tersusun serta memberi impak maksimum kepada pembangunan setempat.

Beliau menjelaskan, peruntukan bagi pembangunan TOD telah mendapat kelulusan oleh Kementerian Kewangan (MOF) untuk tempoh empat tahun tersebut, sekali gus membolehkan perancangan dilaksanakan secara menyeluruh.

“Semua ini MOF telah pun luluskan peruntukan bagi tujuan pembangunan selama empat tahun bagi TOD ini sendiri. Jadi kita kena pastikan bahawa TOD ini mengikut jadual yang ditetapkan supaya seiring dengan penyiapan ECRL nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/2/2026

- Advertisement -