
KOTA BHARU: Lapan negara majoriti penduduk Islam telah secara rasmi menyertai Board of Peace (Lembaga Keamanan) yang ditubuhkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menangani konflik di Semenanjung Gaza.
Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitul Maqdis, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Aminurraasyid Yatiban berkata, beliau juga kesal negara jiran, Indonesia turut menyertai jawatankuasa itu.
Beliau berkata penubuhan lembaga itu bertujuan melindungi kepentingan Israel menerusi beberapa mekanisma di Gaza termasuklah zon bebas keganasan, penubuhan pasukan penstabilan antarabangsa (ISF) dan sebagainya.
“Cuma dalam lembaga ini ada termasuk ketua negara-negara umat Islam malangnya, Perancis dan Norway pun tidak mahu, tak nak skeptik untuk terlibat dalam lembaga keamanan ini, pada saya ada khabar yang menyedihkan.
“Salah sebuah negara terlibat adalah Indonesia melalui Presidennya Prabowo Subianto, sebab Probowo malangnya menyatakan bahawa nak mendapatkan kad keamanan ini dengan memberikan jaminan kepada Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pidatonya pada Program Minggu al-Quds Sedunia 2026 yang diadakan bagi peringkat Negeri Kelantan di Dataran Medan Ilmu, Jalan Dato Pati, di sini.
Turut hadir Menteri Besar, Dato Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud; Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob; Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Kelantan yang juga Pengarah, Dato’ Abdullah Ya’kub.
Media sebelum ini melaporkan Lembaga Keamanan (Board of Peace) yang ditubuhkan merupakan sebahagian usaha daripada pelan komprehensif 20 perkara dirancang Presiden AS itu untuk menamatkan konflik di Gaza.
Ia memegang kuasa perundangan dan eksekutif transisi, termasuk kuasa kecemasan dan pentadbiran keadilan untuk menukarkan Gaza menjadi kawasan yang bebas keganasan, dinyah-radikal, dan dinyah-tentera seperti Hamas.
Trump turut menetapkan yuran keahlian sebanyak USD1 bilion bersamaan RM4.42 bilion daripada negara-negara ahli dan akan disalurkan terus untuk membiayai kos pembangunan semula Gaza dianggarkan mencecah 53 bilion USD.
Presiden AS itu juga bertindak sebagai Pengerusi dengan kuasa veto ke atas semua keputusan dan mempunyai kuasa tunggal untuk melantik penggantinya sendiri selain tiga tokoh utama sebagai ahli lembaga eksekutif.
Mereka seperti menantu Trump yang juga pelobi terbesar Yahudi di AS, Jared Kushner; Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dan bekas Perdana Menteri United Kingdom, Tony Blair. – HARAKAHDAILY 3/2/2026











