
KOTA BHARU: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan bahawa tidak semua mesyuarat atau proses dalam Perikatan Nasional (PN) mewajibkan kehadiran presiden parti, kecuali bagi badan khusus iaitu Majlis Presiden Perikatan Nasional.
Beliau berkata, PN pada masa ini mempunyai empat parti anggota iaitu Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia atau Malaysian Indian People’s Party (MIPP), dan hanya presiden parti-parti anggota tersebut secara automatik menjadi ahli Majlis Presiden PN.
“Dalam Perikatan Nasional ini, parti anggota ada empat sahaja. Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP. Ahli Majlis Presiden PN mestilah presiden parti-parti anggota,” katanya.
Menurut beliau, kedudukan seseorang sebagai presiden parti dan pada masa sama memegang jawatan lain dalam PN bukanlah satu keperluan mandatori, sebaliknya berlaku secara kebetulan berdasarkan jawatan yang disandang.
“Bukan semestinya seseorang itu mesti presiden untuk berada dalam jawatan tertentu. Kalau kebetulan presiden, itu kebetulan, bukan satu syarat yang kompulsori,” jelasnya.
Takiyuddin turut menghuraikan struktur kepimpinan PN apabila jawatan Pengerusi disandang oleh seorang presiden parti anggota, yang secara automatik menyaksikan presiden parti anggota lain menjadi Timbalan Pengerusi.
“Sebagai contoh, ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Pengerusi PN, maka tiga presiden parti anggota lain menjadi Timbalan Pengerusi. Dalam Bersatu pula, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika itu menjadi Timbalan Pengerusi,” katanya.
Beliau menjelaskan, susunan kepimpinan tersebut adalah selaras dengan peruntukan dan amalan dalam struktur organisasi PN dan tidak bercanggah dengan perlembagaan gabungan itu.
“Ini semua berasaskan struktur yang telah dipersetujui dalam PN. Tidak timbul soal pelanggaran peraturan kerana ia bergerak dalam kerangka perlembagaan yang sedia ada,” katanya. –HARAKAHDAILY 3/2/2026











