
KOTA BHARU: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan isu melibatkan kepimpinan dan pengurusan Perikatan Nasional (PN) hanyalah ‘ribut dalam secawan kopi’ dan boleh diselesaikan secara teratur mengikut peraturan serta undang-undang sedia ada dalam gabungan itu.
Beliau berkata, PAS berpendirian semua perbezaan pandangan perlu dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat, bukan melalui kenyataan atau ketetapan di luar saluran yang ditetapkan.
“Ini bukan isu besar. Ia adalah satu proses biasa yang boleh diselesaikan mengikut peraturan dan undang-undang parti di peringkat nasional.
“Yang penting, jangan bercakap di luar mesyuarat, sebaliknya panggil mesyuarat dan bincang secara berhemah,” katanya ketika ditemui media selepas melawat kebakaran sebuah gudang di Jalan Kebun Sultan di sini.
Menurut beliau, sebarang isu termasuk berkaitan jawatan Pengerusi PN atau pindaan perlembagaan gabungan itu mesti dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (MTPN) sebagaimana diperuntukkan dalam perlembagaan PN.
“Perlembagaan PN sendiri menetapkan prosedur apabila berlaku pertukaran pelantikan atau pindaan. Semuanya perlu diputuskan dalam mesyuarat MTPN sebelum dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS),” jelasnya.
Takiyuddin turut memaklumkan beliau telah berhubung dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menyampaikan pendirian PAS supaya semua pihak kembali kepada proses mesyuarat dan undang-undang.
“Saya beritahu bagi pihak Presiden PAS, kita minta semua proses ini dijalankan mengikut undang-undang.
“Kita ada perbezaan pandangan dan pendekatan, tetapi tidak sampai ke tahap perbalahan,” katanya.
Tambah beliau, PAS juga telah mencadangkan satu tarikh mesyuarat MTPN bagi membincangkan semua isu berbangkit termasuk pelantikan jawatan, pengurusan serta sebarang cadangan pindaan perlembagaan PN.
“Kita duduk, berbincang dan buat keputusan bersama. Harapnya isu ini dapat diselesaikan sekali gus melalui mesyuarat tersebut,” katanya.
Mengulas perkembangan lain, beliau berkata pihaknya dimaklumkan mengenai permohonan baharu oleh tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang terhenti keahlian untuk menyertai PAS semula, akan diproses mengikut prosedur biasa parti.
“Permohonan itu akan dibawa ke Jawatankuasa Pusat untuk diputuskan. Setakat ini saya belum menerima borang permohonan secara rasmi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kemasukan semula MIC ke dalam PN telah diluluskan, memandangkan parti itu adalah antara parti pengasas gabungan berkenaan.
“Keutamaan PAS adalah memastikan perpaduan dalam PN terus diperkukuhkan melalui saluran yang betul dan berlandaskan perlembagaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/2/2026











