‘Cari makan’ bukan lesen langgar undang-undang

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Alasan golongan nelayan untuk ‘cari makan’ tidak boleh dijadikan lesen untuk melanggar undang-undang perikanan, khususnya melibatkan pencerobohan zon tangkapan nelayan negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata demikian, mengulas isu pencerobohan bot pukat tunda dari negeri jiran ke perairan Terengganu yang dibangkitkan dalam mesyuarat Exco-Exco Pertanian Negeri bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

- Advertisement -

Menurut beliau, dalam mesyuarat tersebut Pengerusi Pertanian Pahang memaklumkan bahawa negeri itu merekodkan pendaratan ikan terbesar di Pantai Timur, namun kenyataan itu disusuli sindiran terhadap Terengganu.

“Exco Pahang sambil meminta maaf dengan nada menyindir Exco Terengganu memaklumkan bahawa Negeri Pahang merekodkan pendaratan ikan terbesar di Pantai Timur.

“Saya juga minta maaf lalu menjawab, ramai nelayan Pahang yang menangkap ikan di Perairan Terengganu dan banyak bot pukat tunda Pahang yang menceroboh zon tangkapan nelayan Terengganu,” katanya.

Menurut beliau, pencerobohan itu telah merosakkan bubu dan unjam milik nelayan tempatan serta telah menjejaskan sumber pencarian nelayan tempatan.

“Dijawab oleh Exco Pertanian Pahang. Nelayan sama-sama nak cari makan. Janganlah ditimbulkan isu perairan negeri itu dan ini. Rakyat Terengganu pun ramai yang kerja cari rezeki di negeri Pahang.

“Begitulah kiranya jawapan sahabat sejawatan saya dari negeri Pahang. Bagi saya, kita fokus kepada isu asal dan jangan meleret dengan isu lain yang tak berkenaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Mengulas lanjut, Azman berkata, Akta Perikanan 1985 dengan jelas menetapkan zon tangkapan nelayan negeri dari garisan gigi air sehingga 12 batu nautika, manakala kawasan melebihi jarak itu dibenarkan kepada bot nelayan dari mana-mana negeri.

“Bila saya sebut, bot nelayan Pahang dengan tenda warna kuning menceroboh zon tangkapan nelayan Terengganu bermakna bot pukat tunda zon C dan C2 dari negeri jiran melakukan aktiviti pukat tunda di Perairan Terengganu kurang dari jarak 12 batu nautika dari pantai.

“Mereka telah melakukan dua kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di zon yang dikhususkan untuk nelayan negeri tersebut dan melakukan aktiviti pukat tunda di zon yang tak dibenarkan.

“Zon yang dibenarkan aktiviti pukat tunda ialah jarak 12 batu nautika ke atas. Bukan hanya nelayan negeri jiran malah nelayan Terengganu juga tak dibenarkan menggunakan pukat tunda dalam zon kurang dari 12 batu nautika,” katanya.

Azman yang juga Ahli Dewan Undnagan Negeri (ADUN) Jabi berkata, dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang disertainya, banyak bot pukat tunda dari negeri jiran ditahan ketika menunda pada jarak enam hingga tujuh batu nautika dari pantai Terengganu.

“Itu adalah zon tangkapan nelayan sampan zon A Terengganu dan zon inilah kita labuhkan tukun dan unjam. Mari pukat tunda mereka kokok (ambil) habis,” katanya.

Beliau juga memaklumkan kebanyakan tekong dan kru bot berkenaan adalah warga asing, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pemilik bot memahami serta mematuhi undang-undang sedia ada.

“Tekong dan kru bot warga asing kebanyakkannya dari Myanmar. Apakah pemilik bot pukat tunda negeri jiran tidak memahamkan tekong dan krew bot mereka dengan undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Undang-undang ini bukan Kerajaan Terengganu yang buat. Bila disebut Akta Perikanan 1985 bermakna ia digubal di Parlimen.

“Undang-undang yang digubal di Dewan Undangan Negeri dipanggil Enakmen,” katanya.

Azman menegaskan, penguatkuasaan perlu dilaksanakan mengikut akta sedia ada demi melindungi kepentingan nelayan tempatan dan kelestarian sumber perikanan negeri.

“Kita perlu uruskan setiap permasalahan dengan punca kuasa yang sedia ada.
Penguatkuasaan juga mesti dibawah Akta sedia ada. Jangan kita divert isu dengan ungkit hal lain.

“Rakyat negeri lain pun ramai kerja di Terengganu tapi bukan itu isunya,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/2/2026

- Advertisement -