300 warga sekolah, TDM kumpul 153kg bahan buangan

Seramai 300 orang termasuk murid, guru dan warga kumpulan TDM Berhad berjaya mengumpulkan sebanyak 153 kilogram bahan buangan.
- Advertisement -

KEMAMAN: Seramai 300 orang termasuk murid, guru dan warga kumpulan TDM Berhad berjaya mengumpulkan sebanyak 153 kilogram bahan buangan menerusi Program ‘TDM Go Green: Back to Schoo dan Kesedaran Kitar Semula yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Padang Kubu (SK Padang Kubu), di sini.

- Advertisement -

Program anjuran Anak syarikat kerajaan negeri itu membabitkan penyertaan murid Tahun 1 hingga Tahun 6 berjaya mengumpulkan bahan buangan yang terdiri daripada kertas, plastik serta besi atau kaca.

Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, penganjuran program itu adalah sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat dalam menyokong pembangunan pendidikan dan kelestarian alam sekitar.

“Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal mengenai kepentingan amalan kitar semula, pengurusan sisa yang bertanggungjawab serta pembentukan nilai disiplin dan sikap prihatin terhadap alam sekitar.

“Sepanjang program berlangsung, para murid didedahkan kepada sesi perkongsian interaktif mengenai kepentingan menjaga kebersihan persekitaran, selain aktiviti praktikal berasaskan konsep ‘hands-on recycling’ bagi meningkatkan kefahaman mereka terhadap proses pengasingan sisa dan amalan kitar semula yang betul,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn Bhd, Hamdan Ibrahim; Guru Besar SK Padang Kubu, Khairul Nizam Zakaria; Timbalan Pejabat Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid, Ahmad Azli Ismail @ Abd Aziz; dan Pegawai Pemasaran RD Papers Sdn Bhd, Naif Saqani Sa’ari.

Menurut Najman, program berkenaan juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 berkaitan pendidikan berkualiti dan SDG 12 berhubung penggunaan serta pengeluaran yang bertanggungjawab.

“Melalui aktiviti kitar semula secara praktikal dan pendedahan kepada kepentingan pengasingan sisa, program ini mendidik murid mengenai kepentingan mengurangkan pembaziran, memaksimumkan penggunaan semula bahan dan mengamalkan kitar semula sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian.

“Kami percaya bahawa pendidikan awal merupakan asas penting dalam membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab dan berdaya saing.

“Melalui pendekatan bersepadu ini, kami berharap murid dapat mengamalkan gaya hidup lestari bukan sahaja di sekolah, malah dalam kehidupan seharian mereka,” jelasnya.

Program berkenaanturut diserikan dengan pengagihan beg sekolah serta alatan tulis sebagai persediaan murid menghadapi sesi persekolahan tahun baharu.

“TDM akan terus komited melaksanakan program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada komuniti setempat, khususnya dalam aspek pendidikan, alam sekitar dan pembangunan modal insan demi menyokong kemajuan mampan negeri Terengganu
,” katanya.- HARAKAHDAILY 3/2/2026

- Advertisement -