Kedah tuntut P Pinang: Kenapa DAP polemikkan?

Tuntutan adil nilai pampasan pajakan, tak cabar kedaulatan dan hak sebagaimana tuntutan Sulu atas Sabah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah membuat tuntutan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan adalah hak sah berasas pajakan sejarah dan hak Raja Melayu yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman sehubungan itu menyanggah penolakan dan salah faham, bahkan putar belit beberapa ahli politik DAP dan pimpinan Kerajaan Pulau Pinang termasuk Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow.

Selain menerusi media, mereka turut mengambil kesempatan menidak dan meremeh tuntutan tersebut dan tidak berani membenarkan ruang pertanyaan balas oleh Ahli Parlimen lain dalam perbahasan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, minggu lalu.

Sedangkan Menteri Besar Kedah terdahulu; Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak dan Dato’ Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir telah membuat tuntutan rasmi, serta kini Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula bakal membawa ke mahkamah.

- Advertisement -

Ahmad Tarmizi menegaskan, tuntutan oleh Kedah ke atas Pulau Pinang bukan untuk mengambil kembali kedaulatan negeri sebagaimana manipulasi cuba dimomokkan ahli politik DAP dan pimpinan Kerajaan Pulau Pinang mutakhir ini.

Sebaliknya jelas beliau, adalah semakan semula nilai pampasan pajakan secara munasabah berdasar keadilan dan sejarah di mana Pulau Pinang kekal berstatus pajakan dari hak kesultanan yang dijamin Perlembagaan dan bukannya wilayah serahan.

Menurutnya, pengesahan sebagai pajakan terbukti daripada bayaran berterusan selama ini, namun yang diminta pertimbangan oleh Kedah adalah kerana ketidakadilam nilai pampasan dan tidak pernah berlaku penamatan pajakan secara sah.

“Pulau Pinang status asalnya bukan diserah milik, tetapi dipajakkan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdullah Mukarram Shah kepada British melalui beberapa perjanjian bermula 1786 dengan Francis Light. Kedudukan ini menjadi asas utama hujah tuntutan pampasan.

“Sultan Kedah tidak menyerahkan kedaulatan, hanya membenarkan penggunaan Pulau Pinang di mana bayaran tahunan dijanjikan sebagai balasan. Jadi prinsip undang-undang terpakai ialah ‘lease’ (pajakan), ia tidak sama dengan ‘cession’ (penyerahan)

“Ini bermaksud hak milik asal kekal pada Kedah. Rekod perjanjian menunjukkan, bayaran tahunan ialah sewa pajakan, bukan ‘hadiah ihsan’ dengan bayaran asal adalah $10,000 Sepanyol setahun (kemudian diteruskan British).

“Selepas Perjanjian Bangkok 1909, bayaran diteruskan oleh British, kemudian oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia,” hujahnya turut menyangkal jika sekadar ‘hadiah’, bayaran tidak perlu diteruskan selepas merdeka.

Hakikat ujar beliau, bayaran berterusan, termasuk tambahan RM10 juta di era Menteri Kewangan (2018) Lim Guan Eng; mengesahkan sifat pajakan, selain berlaku kegagalan British menunaikan janji asal yang turut membawa kepada asas tuntutan pampasan.

Kesahan sejarah dan perundangan

Ahmad Tarmizi turut memperincikan sejarah khususnya berkaitan janji British yang dimungkiri untuk melindungi Kedah daripada ancaman Siam dan Burma, selain pengiktirafan kedaulatan Sultan Kedah dalam perjanjian pernah dibuat.

Namun sebaliknya jelas beliau, catatan sejarah merekodkan bahawa British telah membiarkan Kedah ditakluk Siam pada tahun 1821, selain menyebabkan Kedah telah dipecahkan kepada beberapa wilayah kesan daripada serangan Siam.

“Prinsip undang-undang antarabangsa menyatakan, ‘Breach of agreement gives rise to compensation’. Tetapi pampasan kita (Kedah) perolehi tidak pernah disemak selaras nilai ekonomi semasa di mana nilai RM10 juta setahun (anggaran moden) adalah terlalu kecil.

“Bahkan terlalu kecil kalau kita bandingkan dengan nilai hartanah Pulau Pinang dan sumbangan Pulau Pinang kepada ekonomi negara. Bayaran ini tidak pernah disemak secara adil atau dirunding semula sejak lebih 200 tahun.

“Ini bercanggah dengan prinsip, ‘Unjust enrichment’ (keuntungan tidak adil). Sedangkan hak Kesultanan Kedah diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 181(1) di mana hak dan kedaulatan Raja-Raja Melayu tidak terhapus.

“Sebab pajakan dibuat oleh Sultan Kedah, bukan Kerajaan Persekutuan. Maka hak sejarah dan perundangan masih wujud. Malah tiada rekod perjanjian menamatkan pajakan secara sah. Tidak pernah ada perjanjian rasmi memutuskan pajakan.

“Hatta, tiada juga persetujuan Sultan Kedah menyerahkan Pulau Pinang secara mutlak. In dalam undang-undang, pajakan kekal sehingga ditamatkan secara sah atau dirunding semula,” jelas beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Sik.

Disamakan tuntutan Sulu ke atas Sabah

Ahmad Tarmizi turut menyangkal hujah gopoh dan hodoh dibuat Kon Yeow yang mengheret persamaan tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang itu sepertimana tuntutan dibuat oleh waris Kesultanan Sulu ke atas negeri Sabah.

“Kedah adalah entiti sah, ditadbir kesultanan sah dalam Perlembagaan dan membuat tuntutan pampasan pajakan ke atas entiti sah iaitu Pulau Pinang. Sedangkan Sulu ialah tuntutan pihak luar secara persendirian serta tidak diiktiraf, malah bercanggah dengan kedaulatan Malaysia.

“Status wilayah dituntut juga dari asalnya ialah yang dipajak dan tiada penamatan pajakan serta tiada serahan mutlak. Sedangkan Sabah itu diserahkan dan disahkan serta ada penamatan, ini perbezaan paling besar,” ujarnya mahu memahamkan Kon Yeow.

Ahmad Tarmizi mengajak pemimpin DAP memahami aspek kedaulatan dan hak menentukan nasib berdasarkan referendum rakyat dan pengesahan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di mana Sabah dipilih rakyatnya untuk menyertai Malaysia.

Beliau juga mengingatkan mereka bahawa dari sudut implikasi undang-undang, tuntutan Kedah tidak mencabar kedaulatan negara dan tidak melibatkan mahkamah asing melainkan penyelarasan pampasan berdasarkan sejarah.

Sedangkan tuntutan Sulu katanya, mencabar keselamatan dan kedaulatan Malaysia dengan menggunakan timbang tara asing yang wajib ditolak habis-habisan, berbeza tuntutan Kedah boleh dirundingkan kerana melibatkan pentadbiran. – HARAKAHDAILY 3/2/2026

- Advertisement -