PAS Pulau Pinang desak TKM 1 letak jawatan

Susulan dakwaan kronisme, nepotisme dan salah guna kuasa dalam pentadbiran institusi agama Islam

- Advertisement -

PAS PULAU PINANG memandang serius pendedahan demi pendedahan yang melibatkan dakwaan amalan kronisme, nepotisme serta salah guna kuasa dalam pengurusan institusi agama Islam di Pulau Pinang, khususnya yang berada di bawah seliaan Timbalan Ketua Menteri (TKM) 1 merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Isu yang dibangkitkan ini bukan isu remeh atau bersifat pentadbiran semata-mata, sebaliknya melibatkan amanah umat Islam, pengurusan dana zakat dan wakaf bernilai jutaan ringgit, serta maruah institusi agama yang sepatutnya dipelihara dengan penuh integriti dan ketelusan.

Amalan pelantikan individu tertentu berdasarkan hubungan kepentingan, penguasaan melampau dalam membuat keputusan, serta kegagalan memastikan tadbir urus yang adil dan telus jelas mencerminkan kepimpinan yang tidak beramanah.

- Advertisement -

Keadaan ini bukan sahaja mencemarkan imej Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, malah menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam yang mengharapkan institusi agama diurus secara profesional, bebas dan bertanggungjawab.

Sehubungan itu, PAS Pulau Pinang menuntut agar TKM 1 meletakkan jawatan serta-merta daripada semua jawatan yang berkaitan dengan pentadbiran dan kepimpinan institusi agama Islam di negeri ini. Tindakan berundur adalah langkah paling wajar bagi memulihkan keyakinan rakyat dan memberi laluan kepada siasatan yang telus tanpa sebarang pengaruh kuasa.

Institusi agama Islam tidak boleh dijadikan alat kepentingan peribadi atau politik. Amanah umat Islam wajib dipelihara, dan sesiapa yang gagal menunaikannya dengan adil dan jujur tidak lagi layak memimpin.

PAS Pulau Pinang akan terus komited mempertahankan integriti institusi Islam serta memastikan pengurusan agama di negeri ini kembali kepada landasan amanah, keadilan dan ketakwaan.

Indah berseri bunga di taman,
Layu disiram air berlumpur,
Jika amanah gagal ditunaikan,
Letak jawatan, berundurlah dengan luhur.

“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

USTAZ MUHAMMAD FAWWAZ MOHAMAD JAN
Ketua Penerangan
Parti Islam Se–Malaysia (PAS)
Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 3/2/2026

- Advertisement -