Madinah Ramadan 34 tahun, tampil konsep Smart City Islamik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Program Madinah Ramadan yang sinonim sebagai simbol syiar Islam di Kelantan kini memasuki tahun ke-34 penganjurannya dengan penampilan baharu berteraskan konsep bandar pintar Islamik.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan,Kesihatan dan Alam Sekita, Hilmi Abdullah berkata, penganjuran Madinah Ramadan tahun ini terus diperkasakan selari pengiktirafan Kota Bharu sebagai Elite Smart City – Elite Adopter oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Disember lalu.

- Advertisement -

Menurut beliau, persiapan di tapak Madinah Ramadan di Kota Bharu kini sedang giat dijalankan termasuk pembinaan kemah utama yang dijadualkan siap pada 12 Februari ini sebelum diteruskan dengan kerja-kerja hiasan dalaman serta pemasangan sistem teknikal menjelang Ramadan yang dijangka bermula pada 19 Februari.

“Khemah utama yang disediakan mampu menampung sehingga 2,000 jemaah pada satu-satu masa bagi memastikan keselesaan pengunjung mengikuti pengisian rohani sepanjang Ramadan,” katanya.

Hilmi menjelaskan, tema penganjuran tahun ini memberi penekanan kepada integrasi teknologi pintar dalam pengimarahan Ramadan tanpa mengetepikan nilai dan roh Islam.

“Antara pembaharuan diperkenalkan termasuk paparan ayat al-Quran serta surah yang dibacakan oleh imam secara langsung menerusi skrin LED, penggunaan sistem pencahayaan pintar dan kemudahan sumbangan derma menggunakan kod QR secara dalam talian,” jelasnya.

Selain itu, katanya, program pengajian al-Quran turut diperkasakan menerusi pendekatan lebih interaktif dengan penyediaan lima stesen khas di sekitar tapak Padang Ramadan.

“Setiap stesen dilengkapi peranti digital bagi membantu pengunjung mempelajari bacaan al-Quran, tajwid dan tafsir secara kendiri melalui paparan skrin serta audio,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa dua imam jemputan dari Mesir akan tiba bagi menjayakan pengisian program, selain penganjuran majlis makan malam penajaan dan media di Kuala Lumpur sebagai sebahagian usaha pengumpulan dana.

Beliau menyatakan, majlis pelancaran tabung dana Madinah Ramadan pula akan diadakan pada 13 Febuari di Medan Ilmu yang menyasarkan penyertaan orang ramai khususnya warga Kelantan.

“Kemuncak program dijadualkan berlangsung pada 8 Ramadan menerusi Majlis Pelancaran Madinah Ramadan di tapak utama, termasuk pelancaran buku khas bertajuk Sejarah Padang Ramadan yang menghimpunkan dokumentasi perjalanan program serta kenangan tokoh-tokoh terdahulu.

“Program tradisi seperti seminar dan kuliah akan terus dikekalkan di samping penambahbaikan berterusan bagi memastikan Madinah Ramadan kekal relevan dan memberi impak kepada masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/2/2026

- Advertisement -