21 penyokong Selangor FC positif dadah

Khairi (tengah) menunjukkan barangan dirampas daripada penyokong Selangor FC
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Seramai 21 penyokong bola sepak Selangor FC yang mencetuskan kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, dikesan positif dadah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua individu berusia antara 17 hingga 43 tahun itu positif dadah jenis ganja.

- Advertisement -

Beliau berkata, tiga daripada mereka turut ditahan kerana memiliki dadah disyaki ganja dan erimin 5.

Menurutnya, polis menerima aduan kira-kira jam 6.30 petang daripada pembantu operasi Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang mendapati sekumpulan penyokong menghalang laluan kenderaan serta membakar suar di lokasi kejadian.

“Pihak Polis telah menerima aduan berhubung tindakan sekumpulan penyokong yang mengadakan perarakan secara tidak terkawal dari hadapan Mayang Mall, melintasi jambatan sebelum bergerak ke Seberang Takir, sekali gus menghalang laluan kenderaan awam serta membakar suar yang jelas merupakan perbuatan berbahaya, tidak bertanggungjawab dan melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Redang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Susulan itu, beliau berkata, pihak polis melaksanakan penguatkuasaan di lokasi terbabit dengan mengiringi 10 buah bas yang membawa 412 individu ke IPK Terengganu kira-kira jam 8 malam bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan lanjut dengan bantuan trafik, MPV, URB, Cawangan Khas dan pasukan op cantas.

“Hasil pemeriksaan ke atas pemandu dan penumpang bas berkenaan pihak polis telah menjumpai serta merampas dadah yang disyaki ganja seberat 19.1 gram dan erimin 5 seberat 0.37 gram. Kesemua dadah yang dirampas dipercayai adalah untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya sembilan individu turut ditahan kerana memiliki suar dan disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Mereka boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa sebanyak 70 batang suar pelbagai saiz dirampas, dengan 54 telah dibakar dan 16 belum dibakar.

Katanya, tiga individu lelaki ditahan kerana memiliki dadah jenis ganja dan erimin 5 akan disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Mereka juga turut disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah berbahaya 1952 yang boleh diatuhi hukuman denda tidak kurang RM20,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau, 21 individu telah didapati positif dadah jenis ganja menerusi hasil ujian saringan air kencing dan ditahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Tujuh orang dari tangkapan tersebut merupakan pelajar dan penuntut dengan pecahan dua orang pelajar IPTA empat orang pelajar IPTS dan satu pelajar sekolah menengah.

“Kesemua pelajar ini akan disiasat di bawah Seksyen 3 (1), Akta Penagih Dadah 1983 dan seterusnya diserah kepada Agensi Anti Dadah Kemalasan ataupun AADK untuk tindakan lanjut.

“Bagi kesalahan memiliki dadah mereka direman selama empat hari bermula Isnin dan bagi yang positif dadah tempoh reman selama tiga hari bermula hari sama,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khairi menasihatkan penyokong agar mematuhi undang-undang, menjaga disiplin dan menghormati keselamatan awam.

“Kami menasihatkan kepada penyokong bola sepak bukan hanya untuk Terengganu malah juga penyokong bola sepak satu Malaysia yang datang ke Tengganu ataupun ke tempat lawan supaya mereka menjaga disiplin dan mematuhi undang-undang,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/2/2026

- Advertisement -