
DEWAN Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang mengambil perhatian terhadap isu pendedahan mengenai salah laku tadbir urus wang zakat dan dana waqaf oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang.
Dewan ini menuntut penjelasan yang tuntas dan telus daripada pihak yang berkenaan demi menjaga imej dan reputasi badan penting yang menguruskan sebahagian besar harta umat Islam di negeri ini.
Sidang media tidak wajar dijadikan medan menuding jari kepada pihak yang ingin mendapatkan kepastian mengenai isu yang didedahkan.
Sebaiknya pihak wewenang dalam kes ini perlu mengambil tanggungjawab bagi menjelaskan secara terperinci aliran wang keluar masuk dan tatakelola yang diamalkan dalam menguruskan wang tersebut.
Dewan Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang juga berasa amat kesal dengan tuduhan yang mengatakan isu ini dipolitikkan oleh pihak tertentu.
Sepatutnya pihak Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) dan institusi agama dalam negeri ini memberi perhatian kepada menjawab pertanyaan mengenai pembiayaan hutang peribadi seorang asnaf dan pembeliaan aset yang menyebabkan kerugian kepada pihak MAINPP serta umat Islam.
Jawapan yang diberikan sangat terlalu umum dan tidak dapat meredakan kebimbangan orang ramai.
Bagi membantu pihak MAINPP dan institusi agama yang berkenaan, maka pihak Dewan ini ingin mencadangkan beberapa langkah seperti berikut:
1. Menjelaskan aliran tunai masuk ke akaun Zakat MAINPP dan perincian butir pengeluaran bagi perolehan tersebut. Perkara ini penting bagi membuktikan ketelusan pihak wewenang dalam menguruskan harta umat Islam dalam negeri ini.
2. Menerangkan rasional pembiayaan peribadi bagi melunaskan hutang rumah seorang asnaf yang dikatakan mempunyai hubungan dengan Timbalan Ketua Menteri (TKM) yang juga merupakan Pengerusi Majlis Agama Islam Pulau Pinang.
Pertanyaan penting dalam isu ini adalah mengapa hanya seorang asnaf dalam kategori al-gharimin dilayan sebegitu istimewa walhal masih ramai asnaf dalam pelbagai kategori yang lebih susah atau sama keadaannya dengan individu berkenaan.
3. Menyatakan dengan jelas mengenai kewajaran membeli sebidang tanah yang dikatakan sebagai tanah tidak berpotensi untuk menjana hasil yang wajar walaupun dalam tempoh yang lama.
Persoalan yang wajar dijawab dengan jujur tanpa berselindung kerana terdapat dakwaan bahawa tanah berkenaan merupakan milik kawan baik kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Pulau Pinang serta tuan tanah juga adalah salah seorang pemimpin politik parti yang diwakili oleh TKM sendiri.
Firman Allah SWT:
وَتَرَى كَثِيرًا مِنْهُمْ يُسَارِعُونَ فِي الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَأَكْلِهِمُ السُّحْتَ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ * لَوْلَا يَنْهَاهُمُ الرَّبَّانِيُّونَ وَالْأَحْبَارُ عَنْ قَوْلِهِمُ الْإِثْمَ وَأَكْلِهِمُ السُّحْتَ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَصْنَعُونَ ﴾ [المائدة: 62، 63]
Maksudnya:
“Dan engkau melihat kebanyakan daripada mereka berlumba-lumba melakukan dosa dan permusuhan, serta memakan harta yang haram. Sungguh amat buruk apa yang mereka kerjakan.
“Mengapa para ulama dan pendeta mereka tidak melarang mereka daripada mengucapkan kata-kata dosa dan daripada memakan harta yang haram? Sungguh amat buruk apa yang mereka perbuat.” (Surah al-Mā’idah: 62–63)
Mengambil ‘ibrah daripada ayat ini, maka Dewan Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang memohon agar Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang melaksanakan tugas menasihati pihak Majlis Agama Islam Pulau Pinang secara amanah dan profesional tanpa pengaruh mana-mana parti politik sama ada pihak yang mempunyai kuasa atau tidak. Berlaku jujurlah, kerana setiap tindakan kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan kelak.
Sekian, terima kasih.
USTAZ AHMAD TAJUDDIN ABU BAKAR
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 3/2/2026











