
PASIR MAS: Kejayaan penuaian Projek Melon Madu Kelantan (MMK) membuktikan kecekapan pengurusan ladang serta keberkesanan pelaksanaan pertanian moden bersepadu di Rong Chenok Agro Valley.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek yang diusahakan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) itu mencerminkan kejayaan pendekatan pertanian moden yang merangkumi sektor pertanian, penternakan dan akuakultur, selaras dengan agenda keterjaminan makanan negeri.
Beliau berkata demikian sempena lawatan kerja ke Rong Chenok Agro Valley, di sini, bagi meninjau pelaksanaan pelbagai projek strategik yang sedang dilaksanakan oleh PKPNK.
Menurut beliau, Projek Melon Madu Kelantan yang dibangunkan melalui peruntukan Kerajaan Negeri Kelantan sebanyak RM150,000 pada awal tahun lalu melibatkan penanaman 1,000 pokok melon dan kini berada pada fasa penuaian kali kedua.
“Kejayaan ini menunjukkan pengurusan ladang yang sistematik serta potensi tinggi projek dalam menghasilkan buah berkualiti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan PKPNK akan menganjurkan jualan terus dari ladang sempena Hari Ladang Agro Valley Rong Chenok pada Sabtu, 24 Januari, bermula jam 8.30 pagi hingga 4 petang.
“Harga Melon Madu Kelantan akan ditawarkan RM2 lebih rendah berbanding harga pasaran semasa sebagai usaha memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan hasil pertanian premium,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata PKPNK kini sedang melaksanakan fasa pengembangan projek MMK menerusi peruntukan RM500,000 di bawah Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah kendalian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan sokongan kerajaan negeri.
“Fasa tersebut melibatkan pembinaan dua rumah perlindungan hujan serta penanaman tambahan 4,000 pokok melon bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan menjamin kesinambungan bekalan,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan inisiatif berimpak tinggi itu akan terus diperkasakan bagi memperkukuh sektor hortikultur negeri, meningkatkan pendapatan pengusaha tani serta memposisikan Melon Madu Kelantan sebagai produk premium tempatan.
Selain itu, katanya projek pertanian moden lain yang dibangunkan PKPNK turut mencatat prestasi memberangsangkan, termasuk projek hidroponik NFT tanaman sawi melibatkan 56,000 pot dengan keupayaan pengeluaran sekitar 300 kilogram setiap musim, serta projek fertigasi meja cili melibatkan 2,000 pokok cili.
“Pendekatan pertanian moden ini lebih tersusun, cekap dan menekankan kualiti hasil,” katanya.
Dalam sektor penternakan, beliau turut meninjau kandang ayam pedaging moden sistem tertutup hasil kerjasama strategik PKPNK dan KPKM yang berkapasiti 20,000 ekor ayam untuk pasaran tempatan.
“Lawatan ini bertepatan dengan penuaian 10,000 ekor ayam pedaging yang membantu menstabilkan bekalan makanan rakyat,” ujarnya lagi.
Beliau juga menyatakan, turut diberi perhatian ialah kandang lestari ternakan lembu Charolais yang menempatkan lebih 60 ekor lembu, dibangunkan berasaskan pengurusan moden serta mematuhi piawaian kebajikan ternakan.
“Kandang tersebut berpotensi dijadikan pusat latihan, kandang contoh dan pusat pendidikan penternakan bagi melahirkan penternak ruminan yang berpengetahuan serta berkemahiran tinggi,” jellasnya.
Lawatan diakhiri dengan tinjauan ke Pusat Pembenihan Akuakultur PKPNK yang berkeupayaan menghasilkan sehingga 20,000 benih ikan bagi menyokong industri perikanan negeri.
“Induk tilapia dan keli dibekalkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Kelantan pada 25 Jun lalu dan kini PKPNK berjaya membiakkan 20,000 benih ikan di enam kolam,” katanya.
Beliau juga tidak ketinggalan menzahirkan kepuasan terhadap pencapaian PKPNK dan menegaskan pembangunan bersepadu di Rong Chenok Agro Valley membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Kelantan bersama PKPNK dan KPKM dalam memperkasa sektor pertanian moden serta menjamin keterjaminan makanan negeri secara mampan. – HARAKAHDAILY 20/1/2026




















