
KUALA LUMPUR: Insiden kebocoran gas ammonia di Plaza Tol Seremban menghala ke Kuala Lumpur pada 15 Januari 2026 menjadi peringatan serius tentang bahaya pengendalian bahan kimia berbahaya ketika proses pengangkutan di lebuh raya di negara ini.
Dalam kejadian tersebut, menurut laporan media, salah satu daripada beberapa tong silinder gas ammonia yang sedang diangkut oleh sebuah lori telah meletup dan bocor, mengakibatkan tiga individu termasuk seorang pengawal keselamatan, seorang jurutol dan pemandu lori mengalami sesak nafas akibat terdedah kepada gas ammonia.
Sehubungan itu, Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), Ts.Shahronizam Noordin berkata, kejadian berkenaan jelas menonjolkan keperluan pematuhan ketat terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam pengendalian serta pengangkutan gas silinder, khususnya ammonia yang diketahui sangat berbahaya walaupun terdedah dalam kuantiti kecil.
Beliau memaklumkan bahawa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Sembilan telah menjalankan siasatan bagi menentukan punca sebenar insiden tersebut, termasuk kemungkinan tindakan perundangan sekiranya didapati berlaku pelanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Menurut beliau, JKKP turut menyediakan garis panduan khusus iaitu Guidelines for Industrial Gas Cylinder: Design, Construction, Handling, Inspection and Testing 2021 sebagai rujukan kepada majikan dan pengendali bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan KKP.
“Setiap silinder gas perlu diperiksa dengan teliti sebelum pengangkutan, termasuk keadaan injap, kewujudan karat atau kerosakan fizikal, kestabilan penutup injap serta tarikh uji tekanan yang masih sah,” jelasnya.
Selain itu, katanya, lori yang membawa bahan kimia berbahaya mestilah mempunyai pengudaraan yang mencukupi dan ditandakan dengan jelas menggunakan placard bahaya mengikut kod yang ditetapkan, selain menjalani pemeriksaan menyeluruh mengikut standard keselamatan pengangkutan bahan berbahaya.
Beliau turut menekankan bahawa semasa proses memuat dan mengikat, silinder gas hendaklah diletakkan dalam posisi menegak dan diikat dengan kemas bagi mengelakkan pergerakan atau penggolekan sepanjang perjalanan.
“Penggunaan peralatan yang sesuai seperti troli dan rantai pengikat berkualiti tinggi dapat mengurangkan risiko kecederaan kepada pekerja semasa pengendalian,” katanya.
Tambah beliau, semua pekerja yang terlibat dalam pemuatan, pengikatan dan pengangkutan gas ammonia perlu menerima latihan keselamatan yang lengkap, termasuk kursus Trained Person for Safe Handling of Ammonia, pemahaman terhadap dokumen keselamatan bahan (Safety Data Sheet – SDS) serta latihan pertolongan cemas berkaitan pendedahan gas.
“Dalam tempoh perjalanan, pemandu lori disaran mengekalkan kewaspadaan tinggi dengan memandu pada kelajuan stabil, mengelakkan brek mengejut dan pusingan tajam, serta tidak berhenti di kawasan tertutup atau berhampiran sumber haba,” tegasnya.
Tambah beliau, pemandu juga perlu dilengkapi peralatan perlindungan diri (PPE) seperti respirator, cermin mata keselamatan dan sarung tangan kimia, serta mengetahui prosedur yang perlu diambil sekiranya berlaku kebocoran atau kecemasan.
“Sekiranya kebocoran berlaku, beliau menegaskan bahawa prosedur kecemasan perlu dilaksanakan segera dengan menghentikan kenderaan di kawasan terbuka yang selamat, menjauhkan orang awam serta menghubungi pihak berkuasa seperti bomba dan polis bagi tujuan bantuan dan pengurusan risiko,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/1/2020











