Ladang babi moden tidak kebal penyakit

PAS Selangor desak enakmen dan biosekuriti diperketatkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kebimbangan masyarakat terhadap penternakan babi skala besar di Malaysia adalah tertumpu risiko kesihatan awam, pencemaran alam sekitar dan ancaman penyakit zoonotik, yang boleh berulang semula.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, penularan wabak berkaitan masih boleh berlaku walaupun teknologi penternakan moden digunakan, sebagaimana hasrat diumumkan oleh kerajaan negeri Selangor.

- Advertisement -

“Fasiliti tersebut tidak ‘kebal’ sepenuhnya, sebaliknya ia hanya berperanan sistem pertahanan yang mampu meminimalkan kesan penyakit yang berpotensi menjadi ancaman utama kepada nyawa manusia.

“Kita pernah dikejutkan penularan Virus Nipah menyebabkan kematian 105 orang dan hampir sejuta ekor babi dihapuskan, dilaporkan Demam Babi Afrika (ASF) turut berlaku di ladang babi Sepang dan Kuala Langat.

“Usaha menukar ladang penternakan babi tradisional kepada penternakan secara moden merupakan langkah yang baik, namun ia tidak boleh dibuat secara sambil lewa tanpa ketegasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai cadangan menjadikan kawasan seluas 500 ekar di Bukit Tagar, Hulu Selangor sebagai tapak penternakan baru skala besar.

Menurut beliau, Enakmen Pegawalan Penternakan Babi 1991 di Selangor masih dianggap belum cukup ketat dari aspek penguatkuasaannya bagi menangani masalah yang membabitkan penternakan babi secara tradisional.

“Pindaan enakmen yang dibuat pada 2010 itu hanya bersifat takrifan, selain kadar denda maksimum yang boleh dikenakan kepada penternak sekiranya berlaku pencemaran adalah sangat rendah,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri Selangor agar segera meminda enkamen tersebut bagi mewajibkan penternakan secara moden, tindakan tegas jika berlaku pencemaran dan penternak menanggung kos pemulihan sungai.

“Selain itu kerajaan negeri juga meminda enakmen ini bagi mewajibkan dan mengetatkan biosekuriti ladang penternakan yang ada di negeri ini ia termasuk juga sistem pengangkutan dan juga pemprosesan babi.

“Kalau tidak (mampu) import sahajalah babi, tak berbaloi kalau berlaku wabak,” katanya mengulas cadangan menjadikan kawasan seluas 500 ekar di Bukit Tagar Hulu Selangor sebagai tapak penternakan baru skala besar.” katanya. –HARAKAHDAILY 20/1/2025

- Advertisement -