
KUALA LUMPUR: Umno berpotensi memenangi lebih 40 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya gagasan Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa yang dicadangkan Presiden Umno direalisasikan bersama Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, pada PRU15 lalu Umno hanya memenangi 26 kerusi Parlimen, namun melalui kerjasama politik bersama PN, parti itu berupaya menambah sekurang-kurangnya 10 kerusi tambahan.
“Jika Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa yang digagaskan oleh Presiden Umno ialah bersama Perikatan Nasional, dengan mudah sahaja Umno sudah boleh menambah 10 kerusi di dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, walaupun kiraan pilihan raya tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan kiraan matematik, pengalaman lalu membuktikan pengundi PN mampu memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN), seperti yang berlaku dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas PRU2018 (PRU14).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas merujuk kejayaan BN di PRK Cameron Highlands dan PRK Tanjung Piai yang menunjukkan pengalihan sokongan pengundi PN kepada calon BN.
Tambahnya, terdapat sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU15, namun Umno berada di tempat kedua dan berpotensi menang sekiranya undi Umno dan PN digabungkan.
Kerusi berkenaan, ujar beliau, ialah Lembah Pantai, Kuala Selangor, Sungai Buloh, Hulu Langat, Sekijang, Ledang, Sri Gading, Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Johor Bahru.
“Mengambil contoh kerusi Parlimen Johor Bahru, beliau berkata calon PH memenangi kerusi itu pada PRU15 lalu dengan 43,252 undi, manakala calon Umno memperoleh 27,211 undi dan calon PN 22,075 undi.
“Namun dalam senario akan datang, sekiranya undi Umno dicampur dengan PN, jumlahnya menjadi 49,286 undi, sekali gus mengatasi undi PH dan membolehkan kerusi ini dimenangi,” jelasnya.
Ustaz Ahmad Fadhli berkata, dalam rundingan pembahagian kerusi, Parlimen berkenaan lazimnya akan ditandingi Umno sebagai parti yang berada di tempat kedua.
Beliau turut menyatakan beberapa kerusi yang ditandingi komponen BN seperti MCA dan MIC, termasuk Bentong, Labis dan Sungai Siput, juga berpeluang dimenangi kerana berada di kedudukan kedua selepas PH.
Katanya, kiraan itu belum mengambil kira kerusi lain yang dimenangi PH atau PN dengan perbezaan undi kecil berbanding BN, yang masih terbuka kepada rundingan dan perbincangan.
“Ini hanyalah kira-kira mudah sahaja yang tentu sekali masih terdedah dengan pelbagai kemungkinan dan senario isu dan perkembangan lain yang boleh mempengaruhi pengundi, tetapi ia sudah cukup kuat untuk menjadi asas perbincangan dalam gabungan politik,” jelasnya.
Beliau juga menyatakan, Umno bukan sahaja berpeluang mengekalkan 26 kerusi sedia ada, malah mempunyai ruang luas untuk menambah kerusi sehingga melebihi 40 sekiranya kerjasama bersama PN dimuktamadkan.
“Mungkin ada yang akan mengatakan, jika dicampurkan undi Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, tentu sekali gabungan PH-BN boleh menang lebih besar.
“Untuk kenyataan ini, sila pertimbangkan persoalan berikut, adakah pengundi Barisan Nasional keseluruhannya boleh menerima gabungan dengan Pakatan Harapan di dalam PRU16 nanti?
“Bukankah penolakan itu telah terbukti di dalam PRN 6 buah negeri tahun 2023 di mana pengundi-pengundi BN di dalam PRU15 ternyata sebahagiannya menolak idea gabungan PH-BN?” soalnya.
Beliau berkata, secara realitinya pengundi BN lebih mudah menerima gabungan BN-PN berbanding gabungan PH-BN dari segi sentimen dan semangat sokongan.
“Justeru, Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa perlu digagaskan ke arah kerjasama politik yang boleh membuka ruang luas untuk memenangi PRU16, bukannya menjadikan Umno dan BN semata-mata alat kepada Pakatan Harapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/1/2026











