PAS tidak anggap Umno musuh

Annuar Musa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak pernah melihat Umno sebagai musuh dan tidak berhasrat untuk melihat parti itu dibubarkan atau terkubur, sebaliknya kekal beristiqamah memperjuangkan kepentingan ummah, amanah serta dasar Islam.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, kepimpinan PAS bergerak berdasarkan fikrah yang jelas berpandukan syariat, bukan didorong emosi atau kepentingan untung rugi parti dan individu, sebaliknya melihat gambaran besar perjuangan melibatkan agama dan bangsa.

- Advertisement -

“PAS tidak menghitung untung rugi kepada parti atau individu, sebaliknya melihat soal ummah dan soal amanah,” katanya dalam media sosial miliknya.

Menurut Annuar, pendirian PAS yang lebih matang dan konsisten dapat dilihat apabila parti itu tidak bersikap sombong walaupun kekuatannya kini lebih besar berbanding Umno dari segi kerusi, undi dan pengaruh.

Beliau menyatakan, PAS juga berkali-kali menghulurkan tangan membantu Umno ketika parti itu berada dalam keadaan lemah, termasuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 apabila PAS turut bersama dalam penubuhan Barisan Nasional (BN).

“Selepas Umno tumbang pada PRU14, PAS sekali lagi membantu Umno melalui kerjasama Muafakat Nasional (MN) pada 2019 sehingga calon-calon Umno dan BN kembali menang dan parti itu berkuasa semula di Putrajaya, termasuk memberi ruang kepada Umno memegang jawatan Perdana Menteri.

“Selepas PRU 15 (malah sebelum PRU lagi,seawal Ogos dan September 2020 apabila Presiden Umno membuat pakatan sulit dengan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim), Umno menikam PAS dan memilih DAP dan Anwar menjadi kerajaan,” dedahnya.

Beliau turut mengingatkan apabila berada dalam kerajaan, Umno bersubahat menganiayai Ahli Parlimen Islam daripada PAS dan PN, namun PAS tetap membuka pintu perdamaian demi menjaga maslahah bangsa dan agama yang lebih besar.

“Inilah perbezaan cara politik PAS dan Umno,” ujarnya yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Menurut Annuar, walaupun PAS serta pimpinan dan ulama parti itu berdepan tekanan, penindasan dan penghinaan, ia tidak menjadikan PAS bersikap berdendam, emosional atau hilang pertimbangan.

Beliau berkata, PAS menyedari Umno kini berhadapan penolakan rakyat, kekangan dana serta kehilangan kerusi dan kedudukan, selain DAP dan PKR sedang melemahkan Umno dan Barisan Nasional.

Namun, ujarnya, PAS tidak mengambil kesempatan terhadap keadaan itu dan akan terus melangkah ke hadapan sama ada Umno mahu bergandingan atau sebaliknya.

“Setiap lompang yang Umno tinggalkan, PAS akan menggantikan. Perjuangan orang Melayu dan Islam di Malaysia tetap dijunjung oleh Parti Islam PAS,” tegasnya.

Annuar turut menyatakan sokongan rakyat terhadap perjuangan PAS semakin membesar, termasuk penyertaan bekas ahli Umno, golongan muda serta masyarakat bukan Islam yang tidak ekstrem dan memahami nilai Islam.

“Apa yang baik bagi perjuangan itulah pilihan. Bukan keangkuhan dan kesombongan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/1/2026

- Advertisement -