
IPOH: Sebarang cadangan permuafakatan politik perlu dijelaskan secara tuntas kepada rakyat, khususnya mengenai kedudukan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, persoalan besar yang mesti dijawab dalam mana-mana usul penyatuan ialah adakah ia masih terikat atau tidak boleh dipisahkan dengan kedua-dua entiti tersebut.
Menurutnya, PAS Perak tidak dapat menerima jika matlamat penyatuan itu hanyalah semata-mata untuk memberi talian hayat kepada PH.
“Jika matlamatnya hanyalah untuk memberi ‘oksigen politik’ kepada Pakatan Harapan bagi mengekalkan kuasa, atau sekadar menarik sokongan orang Melayu dengan berselindung di sebalik slogan penyatuan seperti Muafakat Nasional atau Rumah Bangsa, maka PAS Perak tidak dapat menerimanya.
“PAS Perak menegaskan bahawa apa jua bentuk pemuafakatan, sama ada dinamakan Muafakat Nasional, Kolaborasi Agung, Rumah Bangsa atau apa sahaja istilah, mestilah jelas matlamat dan hala tujunya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Idris, permuafakatan tersebut hendaklah berteraskan prinsip ta‘awun ‘ala al-birr wa al-taqwa iaitu saling membantu dalam perkara kebaikan serta menentang kemungkaran dan kerosakan.
Beliau menjelaskan, sekiranya permuafakatan itu tidak berlandaskan prinsip tersebut, maka ia tidak mempunyai makna yang sebenar dalam konteks penyatuan ummah.
“PAS Perak sekali lagi menegaskan bahawa penyatuan ummah mestilah dibina atas prinsip yang benar, konsep yang terkawal, serta berpaksikan aturan Islam, di samping menjunjung kewajipan berlaku adil kepada semua.
“Pendekatan inilah yang akan menatijahkan kesejahteraan sebenar kepada seluruh lapisan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen berterusan PAS Perak untuk menjayakan penyatuan ummah atas apa jua nama dan bentuk, selagi Islam dijadikan asas utama dalam menyatukan manusia di negara ini.
Katanya, komitmen terhadap penyatuan dan perpaduan ummah bukanlah perkara baharu dalam perjuangan parti itu, malah ia menjadi tema konsisten dalam ucapan dasar Presiden PAS sejak sekian lama menerusi siri-siri Muktamar Tahunan.
“Hal ini membuktikan bahawa PAS sejak awal penubuhannya berusaha menyatukan seluruh kekuatan umat Islam, sama ada melibatkan parti-parti politik Islam mahupun NGO-NGO (Badan Bukan Kerajaan) Islam.
“Sejarah juga membuktikan bahawa dalam isu-isu besar yang menyentuh kepentingan orang Melayu dan Islam, PAS sering tampil sebagai pelopor dan pemudah cara ke arah penyatuan ummah demi maslahat bersama,” tegasnya lagi.
Mengambil contoh Sirah Nabawiyah, Idris berkata Rasulullah SAW telah berjaya menyatukan bangsa Arab yang sebelum itu hidup dalam permusuhan berpanjangan sehingga berlaku pertumpahan darah, walaupun keadaan masyarakat ketika itu jauh lebih kompleks berbanding realiti Malaysia hari ini.
“Sirah Rasulullah SAW wajar dijadikan contoh dan pedoman utama dalam usaha menyatukan masyarakat di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/1/2026











