Jalan Muadzam Shah-Selancar perlu dinaik taraf segera

Ahmad Azlan Abu Bakar
- Advertisement -

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang meminta kerajaan negeri dan persekutuan mengambil tindakan segera bagi menaik taraf keadaan jalan raya di laluan utama Muadzam Shah ke Gugusan Felda Selancar yang dilihat masih berada pada tahap kurang memuaskan.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, laluan berkenaan merupakan antara pintu masuk utama ke Negeri Pahang dari selatan tanah air, namun keadaannya tidak mencerminkan aspirasi slogan kerajaan negeri, Pahang 1st.

- Advertisement -

Menurut beliau, masalah kerosakan jalan di kawasan itu bukan isu baharu dan telah berlarutan sejak sekian lama tanpa penambahbaikan yang ketara, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengguna jalan raya.

“Apa yang menarik perhatian saya sepanjang perjalanan ke Muadzam Shah, khususnya melalui laluan utama dari Muadzam Shah ke Segamat, Johor, ialah keadaan jalan raya yang dilihat masih berada pada tahap kurang memuaskan.

“Sedangkan laluan ini merupakan antara pintu masuk utama ke Negeri Pahang dari selatan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menimbulkan persoalan bahawa dengan slogan Pahang 1st yang diangkat oleh kerajaan negeri BN PH hari ini, adakah keadaan sebenar infrastruktur jalan raya di negeri ini benar-benar mencerminkan aspirasi slogan tersebut?

“Secara peribadi, sejak kecil sehingga ke hari ini, saya melalui laluan yang sama dan mendapati kondisi jalan raya di kawasan ini seolah-olah tidak menunjukkan peningkatan yang signifikan, malah berdepan pelbagai isu keselamatan.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan apabila wakil rakyat kawasan ini sendiri diwakili oleh Dato’ Ir Razali Kassim daripada Umno-Barisan Nasional (BN), yang juga merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang merangkap Pengerusi Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan.

“Justeru, adakah ini gambaran sebenar pelaksanaan slogan Pahang 1st yang diwar-warkan?” soalnya lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta Razali Kassim agar turun padang bagi menilai sendiri keadaan jalan raya di kawasan berkenaan dan seterusnya melaksanakan kerja naik taraf secara menyeluruh.

“Saya berpandangan bahawa rakyat Pahang berhak menikmati kemudahan jalan raya yang lebih selamat, selesa dan berkualiti.

“Sehubungan itu, saya dengan penuh hormat memohon jasa baik pihak yang bertanggungjawab, khususnya Pengerusi Kerja Raya Negeri Pahang, agar dapat mengambil tindakan segera untuk menilai dan menaik taraf keadaan jalan raya di Pahang, terutamanya di DUN Muadzam Shah.

“Saya juga berharap pihak kerajaan persekutuan boleh meluluskan dengan Kadar segera peruntukan penyelenggaraan Jalan Raya persekutuan bagi menambah baik infrastruktur jalan raya,” ujarnya.

Beliau turut berharap peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) digunakan secara berhemah dan mematuhi garis panduan, supaya isu ketidakpatuhan penggunaan peruntukan seperti yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Suku Ketiga 2025 tidak berulang.

“Walau apa pun, saya mendoakan agar segala perancangan serta usaha penambahbaikan infrastruktur jalan raya di negeri ini dapat disegerakan dan dipermudahkan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/1/2026

- Advertisement -