Zahid ‘u-turn’ bila berdepan tekanan DAP?

- Advertisement -

PERUBAHAN nada dan pendirian Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kebelakangan ini terus mengundang persoalan apabila beliau dilihat mengendurkan kenyataan sendiri dalam tempoh singkat, khususnya berkaitan DAP. Episod ini bukan sahaja mencerminkan ketidakkonsistenan pendirian, malah menimbulkan persoalan lebih besar mengenai siapa sebenarnya yang menentukan arah dalam ‘Kerajaan Perpaduan’.

- Advertisement -

Dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini, Zahid tampil dengan nada tegas apabila menyatakan wujud percanggahan kenyataan dalam kalangan pimpinan DAP. Beliau menyatakan terdapat dua kumpulan dalam parti tersebut dan menyatakan perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh kepimpinan DAP sendiri. Kenyataan itu dibuat secara terbuka dalam forum tertinggi Umno, memberi gambaran bahawa Zahid tidak teragak-agak mendedahkan masalah dalaman rakan gabungan.

Zahid turut menyokong ketegasan Pemuda Umno yang menjawab kenyataan pemimpin DAP secara lantang. Pujian tersebut seolah-olah mengesahkan bahawa Umno tidak gentar berdepan DAP, selari dengan sentimen akar umbi parti itu yang sejak sekian lama menolak kerjasama dengan DAP.

Namun ketegasan tersebut tidak bertahan lama selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke tampil menafikan kenyataan bahawa wujudnya dua kem dalam parti itu. Anthony juga menafikan bahawa beliau pernah memaklumkan perkara tersebut kepada Zahid, lalu Presiden Umno itu segera mengubah nada. Dalam sidang media susulan, Zahid menafikan kewujudan dua kumpulan dalam DAP dan menyatakan bahawa sekiranya kenyataannya sebelum itu menyinggung perasaan DAP, beliau menarik balik kenyataan tersebut.

Perubahan pendirian yang pantas itu mencetuskan persepsi bahawa Zahid tunduk kepada tekanan rakan gabungan. Kenyataan dibuat dalam ucapan rasmi, tetapi ditarik balik sebaik sahaja penafian keras dikeluarkan oleh DAP. Daripada mempertahankan kenyataan sendiri, Zahid memilih untuk meredakan keadaan, sekalipun ia menimbulkan tanda tanya mengenai ketegasan kepimpinan Umno.

Corak yang sama turut terserlah dalam isu membabitkan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin daripada DAP yang meraikan keputusan mahkamah berkaitan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak. Ketika isu tersebut mencetuskan kemarahan dalam kalangan pimpinan dan penyokong Umno, Zahid menegaskan supaya tidak ‘menyimbah minyak ke api’.

Namun, hari sama Pejabat Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan media berhubung status kes 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Zahid. Susulan itu, api yang terbakar itupun padam.

Pendekatan berhati-hati itu memperkukuh gambaran bahawa Zahid kini berada dalam kedudukan serba terikat. Setiap kenyataan perlu ditimbang agar tidak mencetuskan implikasi politik atau undang-undang yang lebih besar. Dalam keadaan itu, keberanian mempertahankan pendirian dilihat semakin terbatas, digantikan dengan keperluan menjaga hubungan dan kestabilan dalam kerajaan ‘perpaduan’.

Selepas AGC memutuskan perkara tersebut, Zahid juga menegaskan bahawa Barisan Nasional tidak akan keluar daripada ‘Kerajaan Perpaduan’ dan akan terus bersama kerajaan sehingga tamat penggal. Kenyataan itu dibuat walaupun isu sensitif melibatkan DAP terus berulang dan menekan emosi akar umbi Umno. Keutamaan jelas diberikan kepada kelangsungan kerajaan, walaupun terpaksa mengorbankan pendirian yang pernah dilaungkan dengan lantang.

Antara mengulas perkara tersebut, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menasihati umum agar tidak melantik pemimpin mempunyai ‘beban’ kerana ia boleh menjejaskan keupayaan membuat keputusan dan merugikan negara. Menurutnya, pemimpin yang terikat dengan kesilapan lalu mudah tertekan dan terhalang bertindak tegas apabila diasak isu tertentu

Keseluruhan rentetan peristiwa, satu corak jelas terbentuk. Selepas kenyataan keras dibuat terhadap DAP, sekali pimpinan DAP ‘berdehem’ , lalu Zahid-Umno berubah nada. Teguran pembangkang muncul, tetapi Zahid kekal dengan pendekatan tersebut. Corak itu memperlihatkan bahawa pendirian Zahid bukan ditentukan oleh prinsip, sebaliknya oleh tekanan rakan gabungan sendiri.

Bagi PAS sebagai parti pembangkang, perkembangan itu menjadi bukti bahawa politik tanpa asas prinsip hanya melahirkan kepimpinan yang terikat dan mudah berubah. Apabila kebenaran boleh disesuaikan mengikut tekanan rakan gabungan, maka yang terhakis bukan sekadar maruah parti, tetapi kepercayaan rakyat.

Dalam politik, rakyat tidak sekadar menilai siapa yang berkuasa, tetapi siapa yang berani mempertahankan pendirian. Episod ‘u-turn’ Zahid itu akhirnya mengukuhkan persepsi bahawa Umno kini lebih bergantung kepada DAP berbanding berpegang kepada prinsip yang pernah dijanjikan kepada penyokongnya sendiri. – HARAKAHDAILY 20/1/2026

- Advertisement -