Ahli bayar USD$1 bilion: Trump cabar sistem dunia

Donald Trump kini mencabar sistem keamanan dunia.
- Advertisement -

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan mencadangkan penubuhan sebuah badan antarabangsa baharu dikenali sebagai ’Lembaga Keamanan’, dengan negara-negara yang ingin memperoleh keahlian tetap perlu membayar sehingga USD1 bilion.

Menurut draf piagam yang dilihat oleh agensi berita, AFP pada Isnin (19 Januari), Rumah Putih dilaporkan telah menjemput beberapa pemimpin dunia untuk menganggotai lembaga itu, yang akan dipengerusikan oleh Trump sendiri, termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin; Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, dan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney.

- Advertisement -

Menurut piagam tersebut, negara anggota yang diwakili oleh ketua negara masing-masing dibenarkan berkhidmat selama tempoh tiga tahun, kecuali bagi negara yang menyumbang lebih daripada AS$1 bilion dalam bentuk dana tunai pada tahun pertama, yang membolehkan tempoh keahlian mereka dilanjutkan.

“Setiap negara anggota hendaklah berkhidmat untuk tempoh tidak lebih daripada tiga tahun dari tarikh berkuat kuasanya piagam ini, tertakluk kepada pembaharuan oleh pengerusi,” menurut draf piagam itu.

Bagaimanapun, peruntukan tempoh tersebut ‘tidak akan terpakai kepada Negara Anggota yang menyumbang lebih daripada USD1 bilion dalam bentuk dana tunai kepada lembaga keamanan dalam tahun pertama piagam itu berkuat kuasa’.

Pada peringkat awal, lembaga berkenaan dikatakan bertujuan menyelia pembinaan semula Gaza, namun piagam itu tidak mengehadkan peranannya kepada wilayah Palestin yang diduduki sahaja.

Menurut Rumah Putih, struktur badan tersebut akan merangkumi sebuah lembaga utama, sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin untuk mentadbir Gaza pasca konflik, serta sebuah ‘lembaga eksekutif’ kedua yang berperanan sebagai badan penasihat.

Piagam itu menyifatkan lembaga keamanan sebagai ‘sebuah organisasi antarabangsa yang berusaha menggalakkan kestabilan, memulihkan tadbir urus yang boleh dipercayai dan sah.

Reaksi dingin sekutu Barat

Cadangan tersebut menerima reaksi dingin daripada beberapa sekutu utama Amerika Syarikat, termasuk Perancis dan Kanada.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, berkata negaranya ‘tidak boleh menerima’ cadangan itu kerana piagam lembaga berkenaan melangkaui skop pembinaan semula dan pentadbiran Gaza pasca perang yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau menegaskan bahawa cadangan tersebut ‘tidak serasi dengan komitmen antarabangsa Perancis’, khususnya keahliannya dalam PBB, yang menurutnya ‘tidak boleh dipersoalkan dalam apa jua keadaan’.

Perancis merupakan salah satu daripada lima ahli tetap Majlis Keselamatan PBB yang memiliki kuasa veto.

Sementara itu, sumber kerajaan Kanada berkata Ottawa tidak akan membayar untuk menyertai lembaga itu dan masih belum menerima sebarang permintaan pembayaran, walaupun Perdana Menteri, Mark Carney menyatakan kesediaan menerima jemputan keanggotaan.

‘Alternatif bayar-untuk-bermain’ Majlis Keselamatan PBB

Profesor hal ehwal antarabangsa Universiti George Washington, Paul Williams, berkata cadangan keahlian tetap berharga usd1 bilion itu menunjukkan Trump sedang cuba membentuk ‘alternatif bayar-untuk-bermain kepada Majlis Keselamatan PBB’, namun dengan kuasa veto terletak sepenuhnya di tangan Trump.

Piagam lembaga itu turut mengkritik PBB, dengan menyatakan keperluan untuk memiliki ‘keberanian meninggalkan pendekatan dan institusi yang terlalu sering gagal’.

Trump sebelum ini kerap mengkritik PBB dan bulan ini mengumumkan Amerika Syarikat akan menarik diri daripada 66 organisasi dan perjanjian antarabangsa, kira-kira separuh daripadanya berkaitan PBB.

PBB, yang berdepan kekurangan dana kronik serta kebuntuan politik dalam Majlis Keselamatan, enggan memberi reaksi langsung terhadap cadangan tersebut.

Dalam pada itu, jurucakap Presiden Perhimpunan Agung PBB, La Neice Collins, menegaskan bahawa ‘hanya terdapat satu organisasi universal dan pelbagai hala untuk menangani isu keamanan dan keselamatan global, iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu’.

Kebimbangan diplomasi berasakan transaksi

Penganalisis International Crisis Group, Daniel Forti, berkata sekurang-kurangnya 60 negara dilaporkan telah dijemput menyertai lembaga keamanan berkenaan.

Walaupun ada negara mungkin melihatnya sebagai peluang mendapatkan sokongan Trump, ramai yang akan menganggapnya sebagai satu rampasan kuasa diplomatik.

“Membeli kerusi tetap secara aktif dalam kelab eksklusif menghantar isyarat yang sangat membimbangkan mengenai masa depan diplomasi antarabangsa berasaskan transaksi dan perjanjian,” katanya.

Menurut piagam itu, Trump mempunyai kuasa untuk memecat negara anggota, tertakluk kepada veto dua pertiga ahli lembaga, serta memilih penggantinya sekiranya beliau berundur sebagai pengerusi.

Penganalisis Dana Marshall Jerman, Ian Lesser, berkata beliau akan terkejut sekiranya banyak negara sanggup menyertai lembaga tersebut, ketika kebanyakan negara dunia kini berusaha mempertahankan institusi pelbagai hala sedia ada.

- Advertisement -