
MAKKAH: Kerajaan Arab Saudi memperkenalkan sistem pengiraan pintar canggih di Masjidil Haram sebagai sebahagian daripada usaha strategik memperkukuh pengurusan orang ramai, ketika lonjakan besar jemaah dijangka berlaku sepanjang Ramadan dan musim Haji akan datang.
Pengenalan teknologi ini bukan sekadar langkah pentadbiran, malah mencerminkan pendekatan geopolitik baharu dunia Islam yang semakin menggabungkan pendigitalan, kecerdasan buatan dan tadbir urus pintar dalam pengurusan tapak-tapak suci utama umat Islam.
Menurut laporan media tempatan, sistem tersebut menjejaki pergerakan jemaah yang masuk dan keluar melalui pintu Masjidil Haram secara masa nyata, membolehkan pihak berkuasa memantau kepadatan, mengenal pasti titik kesesakan serta mengawal aliran pergerakan dengan lebih berkesan dan selamat.
Pasukan lapangan kini dapat membuat keputusan pantas berasaskan data bagi mengalihkan pergerakan kaki dan mencegah kesesakan, khususnya di kawasan tumpuan ibadah.
Pihak berkuasa Arab Saudi menjangkakan sistem berkenaan memainkan peranan penting semasa waktu puncak, termasuk solat fardu, solat Tarawih dan lonjakan ibadah umrah, apabila berjuta-juta jemaah berkumpul serentak di Masjidil Haram.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada strategi lebih luas Kerajaan Arab Saudi untuk mengintegrasikan teknologi pintar dalam pengurusan Dua Masjid Suci, selari dengan aspirasi negara itu untuk muncul sebagai hab kepimpinan teknologi dan pentadbiran dunia Islam, di samping menjamin keselamatan, keselesaan serta kelancaran ibadah jemaah.
Dalam konteks teknologi Islam, penggunaan sistem pintar di Masjidil Haram dilihat sebagai usaha memanfaatkan kemajuan sains dan data bagi menjaga maqasid syariah, khususnya aspek pemeliharaan nyawa, keselamatan dan kemaslahatan jemaah ketika menunaikan ibadah.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi memaklumkan lebih 60 juta orang telah mengunjungi dua tempat suci Islam itu sepanjang bulan Muharram tahun Hijrah 1447.
Daripada jumlah tersebut, Masjidil Haram menerima 27,531,599 jemaah, termasuk 47,823 jemaah yang menunaikan solat di kawasan Hateem, Hijr Ismail.
Sementara, jumlah jemaah umrah yang direkodkan sepanjang bulan berkenaan ialah 7,857,270 orang, disokong oleh rangkaian perkhidmatan yang meluas bagi memenuhi keperluan jemaah.











