
KUANTAN: Pusat Asuhan dan Tunas Islam (PASTI) berpotensi diusahakan sebagai tanda aras pendidikan awal kanak-kanak di negara ini dengan komitmen berterusan semua pihak, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato’ Andansura Rabu.
Menurutnya, usaha melahirkan generasi berilmu dan berakhlak perlu bermula seawal usia dengan pendekatan pendidikan yang tersusun, relevan dan seimbang antara ilmu, sahsiah serta kebolehan asas kanak-kanak.
Pandangan itu dikongsikan beliau menerusi laman sosial selepas merasmikan penutupan Bengkel Guru Baharu PASTI Zon Timur Pahang yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad di Sungai Karang, baru-baru ini.
Justeru, beliau mengingatkan guru-guru PASTI agar sentiasa bersedia menghadapi cabaran pendidikan awal kanak-kanak yang semakin berkembang, termasuk memenuhi harapan ibu bapa dan penjaga.
Tambahnya, kekuatan mental dan emosi dalam kalangan pendidik juga perlu diberi perhatian selain penguasaan ilmu dan kemahiran agar proses pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menurutnya lagi, sejarah penubuhan institusi PASTI serta usaha berterusan menambah baik kurikulum wajar difahami oleh para guru supaya pendidikan yang disampaikan kekal selari dengan tuntutan semasa.
“Pendekatan tersebut penting bagi memastikan anak-anak pelajar dipersiapkan dari sudut ilmu, akhlak dan kebolehan sebelum melangkah ke pendidikan arus perdana,” ujarnya yang juga ADUN Beserah.
Bengkel anjuran Majlis Guru PASTI dengan kerjasama Institut Latihan PASTI Malaysia (ILPM) itu menghimpunkan hampir 100 orang guru baharu yang berkhidmat kurang daripada setahun.
Lebih 40 buah PASTI di Zon Timur Pahang mentertai bengkel itu merangkumi kawasan Rompin, Pekan, Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar. – HARAKAHDAILY 20/1/2026











