
ALOR SETAR: Kedah menzahirkan komitmen dalam memperkasakan institusi tahfiz dan pondok dengan memperkenalkan ‘Laluan Pantas’ (fast track) kepada pelajar lepasan tahfiz dan pondok bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia SPM bermula tahun ini.
Usaha itu digarapkan melalui Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dengan fokus tawaran kepada pelajar berumur sekurang-kurangnya 17 tahun yang menetap dan bermastautin di negeri ini.
Menurut LZNK, calon yang berminat dikehendaki bersedia memulakan sesi pengajian selama setahun atau dua tahun pengajian mengikut keputusan Ujian Penilaian LZNK serta syarat yang ditetapkan oleh pihak sekolah.
Tambah LZNK, keutamaan diberikan kepada asnaf, fakir, miskin dan mualaf sahaja dan permohonan boleh dibuat secara atas talian melalui https://bit.ly/FASTTRACKSPM.
Terdahulu media melaporkan, Kerajaan Negeri Kedah sedang memperhalusi serta memperakui program pensijilan pondok sebagai satu bentuk pengiktirafan rasmi terhadap institusi pengajian pondok selaras dengan hala tuju pendidikan negeri dan usaha memperkasa tradisi keilmuan Islam.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penambahbaikan itu merangkumi penstrukturan pentadbiran, penaiktarafan kemudahan, selain mewujudkan laluan akademik khusus bagi memastikan lepasan pondok memperoleh pengiktirafan sah untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Kerajaan negeri juga berhasrat memperkenalkan beberapa inisiatif agar graduan pondok dapat diiktiraf sebagai sumber model insan yang berilmu dan kompeten untuk berkhidmat dalam sektor agama, pendidikan, sosial dan pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penghormatan dan Penghargaan Lepasan Pondok peringkat negeri di Dewan Tunku Permaisuri Hajah Haminah, Universiti Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) November tahun lepas.
Menurutnya, usaha memperkasa pendidikan pondok ini akan digerakkan bersama Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Yayasan Islam Negeri Kedah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) melalui kerjasama strategik yang lebih tersusun dan menyeluruh.
Sanusi menyatakan bahawa langkah ini selaras dengan gagasan pembangunan ilmu negeri Kedah melalui konsep ‘Cordoba of Kedah’, yang menekankan keseimbangan antara kemakmuran ekonomi dan ketenangan jiwa.
“Melalui gagasan ini, diharapkan Kedah bukan sekadar negeri yang makmur ekonominya, tetapi juga sejahtera jiwanya. Negeri yang umarak, ulamak dan cendekiawan berganding bahu menghasilkan kesejahteraan untuk rakyat yang berilmu, beradab dan beriman,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.
Beliau turut memaklumkan bahawa kajian komprehensif mengenai program pensijilan pondok telah dijalankan melalui kerjasama antara Yayasan Islam Negeri Kedah, ahli akademik Universiti Utara Malaysia (UUM), UniSHAMS, Jabatan Mufti, MAIK, JHEAIK.
“Perkara itu turut melibatkan para tuan-tuan guru pondok sendiri, menjadikannya usaha sulung yang bakal memartabatkan sistem pondok di Kedah,” katanya, – HARAKAHDAILY 16/1/2026




















