Israk Mikraj: Peringat fardu solat, juang bebas Al-Aqsa

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penganjuran Program Penghayatan Israk Mikraj Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman menjadi wadah penting dalam mengingatkan umat Islam terhadap tanggungjawab menunaikan solat serta keperluan mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program tahunan yang diadakan sempena bulan Rejab itu bertepatan dengan peristiwa besar Israk dan Mikraj yang berlaku kepada Nabi Muhammad SAW.

- Advertisement -

Menurut beliau, peristiwa berkenaan bukan sekadar peristiwa sejarah, malah mempunyai pengajaran besar yang berkait rapat dengan kehidupan umat Islam merangkumi aspek individu, keluarga, masyarakat dan ummah secara keseluruhan.

“Pensyariatan solat fardu melalui peristiwa Israk dan Mikraj menunjukkan betapa pentingnya ibadah tersebut dalam kehidupan seorang Muslim. Solat merupakan tanggungjawab individu dan tidak boleh diwakilkan kepada sesiapa,” katanya ketika berucap pada program yang berlangsung di Kuala Terengganu City Centre (KTCC Mall), di sini.

Turut hadir Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Nor Hamzah dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Tambah beliau, penganjuran program penghayatan Israk dan Mikraj itu melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk penduduk setempat, jabatan kerajaan dan pelbagai agensi.

Dalam pada itu, Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, bulan Rejab turut mengingatkan umat Islam kepada Masjid Al-Aqsa yang mempunyai hubungan langsung dengan peristiwa Israk dan Mikraj.

“Masjid Al-Aqsa menjadi simbol kesatuan ummah dan pada masa yang sama mengingatkan kita kepada kezaliman rejim Zionis.

“Pembebasan Masjid Al-Aqsa merupakan tanggungjawab umat Islam untuk memastikan kesuciannya kembali terpelihara,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Pelaksana Program termasuk UPDI, MBKT, JHEAT, DUAT, JKR, IMITS, pendakwah jemputan dan seluruh warga Terengganu yang sentiasa mendokong usaha dakwah dan tarbiah.

“Semoga majlis kita diberkati dan menjadi pencetus kesedaran dalam membina negeri yang benar-benar dirahmati Allah,” katanya.- HARAKAHDAILY 16/1/2026

- Advertisement -